Mohd Rafi Harap Kerajaan Terus Cakna, Ambil Inisiatif Bantu Rakyat Tangani Masalah Ekonomi

LABUAN, 15 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berharap Kerajaan Perpaduan terus cakna terhadap isu rakyat dengan mengambil inisiatif bagi membantu mereka khususnya dalam mendepani keadaan ekonomi terkini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari 6 peratus kepada 8 peratus bermula 1 Mac lalu memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

“Sekarang ini majoriti masyarakat tertekan tapi kalaupun kerajaan terpaksa teruskan maka saya minta perbanyakkanlah insentif-insentif untuk membantu golongan-golongan B40 ini kerana sekarang ini M40 pun ada yang turut tertekan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, kerajaan perlu memikirkan bagi memperbanyakkan insentif khusus untuk rakyat dari pelbagai segi bagi menampung kembali keperitan yang telah ditanggung oleh mereka.

“Di Labuan kenaikan 2 peratus tersebut sudah jadi isu besar kerana kenaikan tambang feri, tambang speedboat selain pelbagai lagi barangan lain, justeru kerajaan perlu maklum dan memahami situasi semasa rakyat.”

Dalam hal ini, beliau juga mencadangkan agar kementerian terlibat mengambil tanggungjawab dengan bergerak lebih aktif dan turun ke bawah bagi memastikan tidak ada kenaikan harga barang seperti yang dijanjikan.

“Seperkara lagi, bahan-bahan makanan mesti mencukupi. Sekarang ini bulan Ramadan dan kemudian hari raya maka perlu dipastikan barangan keperluan adalah cukup.

“Jangan apabila ada musim perayaan beras tak cukuplah, gula tak cukuplah yang tentunya akan menyusahkan rakyat malah ini juga mengundang kepada kenaikan harga barang akibat tidak cukup di pasaran,” katanya lagi.

Dalam hal ini beliau menyarankan agar kerajaan juga memahami situasi rakyat sebagaimana rakyat berdepan kesulitan dan kesempitan ekoran ekonomi yang menekan.

“Rakyat mengharapkan Kerajaan Perpaduan terus mengambil langkah wajar malah membantu secara langsung terus sampai kepada rakyat, maka rakyat sendiri boleh berbelanja dengan mudah dan pusingan ekonomi mampu bergerak secara seimbang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.