Ahmad Zahid Yakin Johor Jadi Daya Tarikan Pelabur, Pelancong Dalam Tempoh Lima Tahun

 

SIMPANG RENGGAM, 15 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Johor bakal menjadi daya tarikan bukan sahaja kepada pelabur bahkan pelancong dalam tempoh lima tahun ini.

Bercakap ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan pada petang Khamis, beliau berkata, silaturahim di antara Kerajaan Negeri Johor dan Persekutuan amat penting untuk menjaga keharmonian rakyat di negeri itu.

“Seperti yang disebut oleh Menteri Besar sebentar tadi, sememangnya Johor dipilih sebagai negeri pertama untuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berbuka puasa. Ini adalah kerana Johor dekat di hati kami.

“Tentulah hubungan yang erat bukan hanya hubungan rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri… yang lebih penting hubungan tidak rasmi boleh mengeratkan hubungan rasmi.

“Inilah yang berlaku di antara Kerajaan Negeri Johor dan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, telah berlaku perubahan besar apabila Sultan Ibrahim ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong, bukan sahaja buat Johor tetapi untuk negara.

“Untuk Johor sendiri saya lihat ada perubahan besar yang telah berlaku apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong. Beberapa haluan baharu telah dibuka bukan sahaja untuk Johor tetapi buat negara.

“Saya merasakan di bawah payung Tuanku, Johor bukan hanya menjadi sebuah negeri maju bahkan termaju di Malaysia. Ini bukan sahaja disebabkan infrastruktur yang lengkap dan zon ekonomi baharu mengundang pelaburan bahkan menjemput pelaburan langsung asing (FDI) terutamanya dari Singapura,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa unit perumahan di Forest City akan dipromosikan untuk dibeli oleh peserta Malaysia My Second Home (MMH2).

“Semalam saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet. Akhirnya, kita mahu mempromosikan Forest City sebagai kawasan untuk unit-unit perumahannya dibeli oleh peserta MMH2.

“Mesyuarat telah memutuskan pemohon-pemohon MMH2 dipermudahkan bukan hanya dari segi proses permohonan tetapi simpanan tetap jumlah pembelian hartanah dengan harga munasabah.

“Ini bertujuan untuk menarik pelabur datang ke Johor. MMH2 akan menjadi penyumbang utama kepada ekonomi dan kita mahu para peserta turut memberi keberhasilan kepada Forest City seeta kawasan berdekatan,” katanya lagi.

Tegasnya, mekasnime tersebut adalah untuk memulihkan pertukaran wang.

“Apabila wang datang dalam bentuk pelaburan atau simpanan tetap, Insya-Allah Johor akan menjadi satu kawasan ‘financial centre’ baharu. Saya yakin apa yang berlaku akan menggamit pelabur di samping menambahkan keyakinan mereka dan mempertingkatkan nilai pertukaran wang yg sedang hadapi masalah.

“Mekasnime ini adalah untuk memulihkan pertukaran wang dan tentunya dengan kadar pertukaran wang rendah ini dapat membawa pelancong datang ke negara. Ini adalah peluang keemasan untuk kita promosikan produk pelancongan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dianjurkan dan kolaborasi baik bersama negara jiran akan diwujudkan.

“Pada tahun 2026 akan dianjurkan Tahun Melawat Malaysia. Insya-Allah kita akan meletakkan acara-acara dalam kalendar pelancongan.

“Dalam tempoh lima tahun ini saya amat yakin Johor akan jadi daya tarikan bukan sahaja untuk pelabur tapi pelancong. Saya yakin Johor akan jadi negeri ‘fixed deposit’ politik tetap kerana dipimpin oleh pemimpin yang baik,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, para kepimpinan Johor setiap peringkat dan masyarakat setempat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.