Wan Rosdy Betulkan Fakta, Tiada Pengeluaran Nadir Bumi Oksida Haram Di Kawasan Lipis

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memperbetulkan fakta dan menafikan sekeras-kerasnya berhubung kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur,Lee Chuan How, di Parlimen, berkaitan pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis.

Tegas beliau kenyataan tersebut adalah kurang tepat, iaitu tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi di daerah Lipis meskipun terdapat cubaan untuk melakukan aktiviti melombong bahan tersebut.

“Ini kerana, hasil maklumat dan initipan yang dilakukan oleh Pasukan Elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 20 Mac 2023 (Isnin) telah mengesan dan menjumpai satu lokasi yang cuba dijadikan kawasan lombong nadir bumi berdasarkan peralatan yang ditemui.

“Susulan penemuan ini, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Pahang telah menjalankan pemeriksaan tapak di lokasi itu pada 23 Mac 2023 (Khamis) dan hasil siasatan mendapati bahawa penemuan alatan dan barang-barang makmal yang digunakan menunjukkan kawasan tersebut adalah untuk melombong nadir bumi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Bagaimanapun, kata beliau lagi tiada aktiviti pengeluaran dikesan dan semua peralatan tersebut telah dirampas pihak berkuasa.

“Malah, lanjutan daripada kes ini, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Penguatkuasa Perhutanan Zon Pahang Barat telah melakukan pemantauan berkala bermula 3 Mei 2023 hingga 15 Februari 2024 di kawasan Pahang Barat dan mendapati tiada sebarang aktiviti perlombongan nadir bumi berlaku.

“Oleh yang demikian, saya berharap fakta ini dapat diperbetulkan kerana kenyataan yang dinyatakan telah menjejaskan nama baik Negeri Pahang, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri Pahang sejak lima tahun lalu begitu tegas melaksanakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah secara haram termasuk aktiviti perlombongan daripada berleluasa.

“Untuk makluman, sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang pada 9 Oktober 2019, sebanyak 137 kes pencerobohan tanah Kerajaan Negeri telah berjaya diselesaikan dengan 129 kes telah dikenakan kompaun dan 8 kes lagi telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman,” ujarnya.

Ujar beliau lagi Kerajaan Negeri juga akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi aktiviti penerokaan tanah secara haram yang berlaku di negeri Pahang pada masa akan datang. – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.