UMNO Bukan Sekadar Politik, Hidup Dalam Masyarakat Tanpa Mengira Masa – Nik Mohd Nadzri

KENINGAU, 14 Mac – Sambutan luar biasa dari masyarakat terhadap program-program membantu rakyat yang dianjurkan oleh UMNO membuktikan masyarakat masih menyayangi parti keramat ini.

Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, ini terbukti setiap kali program yang dianjurkan oleh parti maka sambutan masyarakat begitu menggalakkan.

Katanya, UMNO yang dikenali sebagai parti berjiwa rakyat sejak dari dahulu lagi memperlihatkan komitmen tinggi dengan kepimpinannya membela masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan parti.

“Gerak kerja yang dilaksanakan UMNO amat penting iaitu bukan hanya melibatkan program-program yang berskala besar tetapi juga pendekatan turun padang termasuk menyantuni mereka yang kesusahan, uzur dan yang ditimpa musibah malah ia diteruskan tiap masa.

“Lebih dari itu, ahli-ahli UMNO mempunyai nilai tambah kepada parti untuk sama-sama bangkit kembali agar parti kukuh dengan melibatkan diri dalam apa-apa sahaja aktiviti atau ruang yang ada kerana UMNO ini adalah parti yang hidup dalam masyarakat,” katanya.

Menurut Nik Mohd Nadzri, mesej perjuangan UMNO bukanlah semata-mata berkisar soal politik kerana keselesaan dalam melunaskan keperluan dan kebajikan tidak kurang pentingnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program gunting rambut percuma dan sumbangan peralatan sekolah di pekarangan Pejabat UMNO Bahagian Keningau, baru-baru ini.

“Kita laksanakan Program Peduli Rakyat tanpa musim, jika sebahagian parti melaksanakanya kerana tujuan tertentu terutamanya menjelang pilihan raya maka baru turun padang membantu rakyat, tapi tidak bagi UMNO kerana kita sentiasa cakna terhadap gerak kerja membantu rakyat.”

Menurut beliau, program membantu rakyat ini sudah tentu memberikan tumpuan kepada masyarakat luar bandar khususnya golongan B40 dengan tujuan membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi terutamanya apabila berhadapan dengan musim persekolahan anak-anak mereka.

Nik Mohd Nadzri yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah berkata, program seperti ini juga berjaya memperkukuh aliran hubungan masyarakat pelbagai kaum ke arah jalinan yang harmoni dan semangat perpaduan khususnya di kalangan penduduk setempat.

Ujar beliau, UMNO mesti bergerak dan melaksanakan gerak kerja hingga ke akar umbi kerana parti tersebut mesti hidup dalam masyarakat.

Dalam perkembangan lain Nik Mohd Nadzri berkata UMNO Bahagian Keningau juga akan menjadi tuan rumah Majlis Berbuka Puasa bersama kepimpinan UMNO Sabah yang diketuai oleh Ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 15 Mac ini, bermula jam 5.00 petang di pekarangan rumah beliau di Kampung Liawan Keningau.

Sehubungan itu Nik Mohd Nadzri menjemput orang ramai khususnya pemimpin dan ahli UMNO Bahagian Keningau menghadiri majlis tersebut. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.