‘Semarak Kampus MADANI’ Program Turun Padang Selami Warga IPT – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat komited untuk pastikan kesejahteraan warga kampus terutamanya pelajar dan pensyarah berada pada tahap yang terbaik.

Justeru katanya ‘Semarak Kampus MADANI’ merupakan program turun padang yang dibangunkan khusus untuk membolehkan Pengurusan Tertinggi KPT mendekati dan menyelami warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menerusi pengalaman sebenar tinggal dan berada di kampus.

“Pendekatan 3P iaitu Padang (turun padang), Perasaan (menyelami keadaan mereka) dan juga Penyelesaian (mencari penyelesaian) diguna pakai sebagai asas utama pelaksanaan program. Tiga  objektif utama penganjuran program ini antara lain mengenal pasti masalah dan isu sebenar di IPT melalui sesi lawatan dan libat urus bersama pemegang taruh, warga dan pelajar IPT.

“Keduanya, berkongsi aspirasi dan hala tuju terkini sektor pendidikan tinggi negara secara terus kepada pemegang taruh, warga serta pelajar dan seterusnya menggalakkan penghasilan inovasi atau ciptaan menerusi kajian, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyemai nilai keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Parlimen, pagi tadi.

Terdahulu Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan tujuan penganjuran serta status pelaksanaan program Semarak Kampus MADANI setakat hari ini.

Dr Zambry seterusnya berkata pengisian program berkenaan terbahagi kepada dua iaitu penganjuran program ‘Exploration and Collaboration UA, IPTS’ oleh Jabatan Pendidikan Tinggi dan program ‘Innovation & Engagement’ oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Antara program yang dilaksanakan termasuklah Pameran Industri, Sesi Bersama Alumni, Bedah Buku, Riadah Bersama Pelajar, CSR Pemerkasaan TVET, dan program bersama komuniti setempat dan Komuniti Sejahtera selain mengadakan mesyuarat pengurusan dengan pihak Universiti.

“Penganjuran program ini amat penting sebagai platform dua hala kepada pemegang taruh, warga dan pelajar di IPT untuk menonjolkan pencapaian semasa mereka mahupun menyampaikan keluh kesah secara terus kepada Pengurusan Tertinggi KPT,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.