Sekolah Vernakular: Tonjolkan Imej Malaysia, Pentingkan Bahasa Melayu – Fariz Hazurin

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung penggalakan pendidikan daripada pelbagai aliran dan penekanan pendidikan satu aliran adalah penting untuk diambil kira dalam konteks memupuk negara bersatu padu dan harmoni. 

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata hal tersebut bukannya hanya bersifat kaum tetapi ia harus menjadi sistem sekolah kebangsaan dan menonjolkan imej negara.

“Cadangan Dr Akmal bukannya sebagai satu usaha untuk menafikan kewujudan sekolah berkenaan, sebaliknya ia bagi menampakkan sekolah vernakular tidak bersifat kaum, terbuka kepada semua anak Melayu, Cina dan India.

“Kita mahu jumlah kemasukan pelajar pelbagai kaum ke sekolah vernakular meningkat dan akhirnya menjadi sebahagian sistem sekolah kebangsaan dan menonjolkan imej Malaysia, seperti mementingkan bahasa Melayu, soal adat budaya Malaysia dan sebagainya,” katanya.

Fariz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Subang menjelaskan pendekatan selama ini dapat mengukuhkan perpaduan dan kesaksamaan.

“Pendekatan yang dilakukannya selaras dengan aspirasi untuk mengukuhkan perpaduan dan kesaksamaan sekian lama wujud selama ini terutamanya dalam masyarakat. Ia begitu penting bagi usahanya membawa satu perubahan yang cukup positif dalam sistem pendidikan negara.

“Pendidikan dengan satu aliran secara tidak langsung dapat mengurangkan potensi perpecahan dalam masyarakat seterusnya dapat memupuk negara yang inklusif dan progresif, di mana setiap rakyat merasa dihargai dan diiktiraf atas sumbangan dan potensi individu mereka,” katanya.

Seterusnya kata beliau, walaupun kewujudan sekolah vernakular didapati tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996, ia tidak semestinya bermakna sekolah berkenaan langsung tiada masalah perpaduan etnik.

“Inilah yang sepatutnya dilakukan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan, dan bukannya terus-terusan memuji sekolah vernakular, sama ada sebagai pilihan mewah kepada ibu bapa atau tempat penyuburan perpaduan.

“Ini kerana sekolah vernakular yang dimaklumkan pihak tertentu sebagai tiada bermasalah langsung dari segi itu, sebenarnya adalah indah khabar dari rupa. Paling penting peranan Bahasa Melayu selaku Bahasa negara harus mendalami yang sebenar-benarnya,” jelas beliau.

Terdahulu Dr Akmal meminta kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Penilaian itu termasuk dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kajian menyeluruh berhubung ruang dan peluang penambahbaikan ekosistem pendidikan kebangsaan perlu dilaksanakan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.