Peruntukan Terbesar Dalam Pendidikan, Bukti Komitmen Kerajaan Perpaduan Angkat Modal Insan – Awang Aslee

MENUMBOK, 14 Mac – Peruntukan yang terbesar dalam Belanjawan 2024 untuk Kementerian Pendidikan menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan terhadap pembangunan modal insan.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kerajaan memberikan fokus kepada sektor pendidikan kerana ingin memacu negara ke hadapan dan ini seiring dengan reformasi pendidikan yang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Ia adalah belanjawan rakyat, ditujukan untuk semua rakyat Malaysia. Hak untuk pendidikan berkualiti adalah untuk semua orang tanpa mengira kaum, agama atau status sosial,” katanya ketika ditemui selepas Program Bantuan Khas Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA bagi kawasan Parlimen Beaufort yang diadakan di dewan terbuka SMK Pekan Menumbok, hari ini.

Menurut Awang Aslee yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Giat MARA Parlimen Beaufort, dengan peruntukan terbesar dalam sektor pendidikan ini diharapkan mampu meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk anak-anak di seluruh negara khususnya bagi meningkatkan prasarana pendidikan termasuk di Sabah yang masih agak ketinggalan berbanding di negeri-negeri lain.

“Pada masa ini, terdapat kekurangan kebolehcapaian infrastruktur yang menghadkan penciptaan pengetahuan untuk lebih maju dan pembangunan bakat murid di kebanyakan sekolah di negeri ini, justeru kita berharap dari jumlah peruntukan yang terbesar ini, Sabah tidak terpinggir untuk menikmatinya,” katanya.

Terdahulu ketika berucap di majlis tersebut Awang Aslee mengingatkan ibu bapa dan pelajar agar tidak menjadikan kemiskinan dan kesempitan hidup sebagai halangan bagi pelajar menjadi individu yang berjaya dan cemerlang dalam pendidikan.

Jelasnya, kesukaran hidup harus dijadikan motivasi untuk berjaya dan membentuk masa depan lebih cemerlang.

“Saya faham kesukaran hidup yang dilalui pelajar terutama di kawasan pedalaman, namun kita boleh mengubah seluruh masa depan dengan perancangan teliti,” katanya.

Jelas Awang Aslee, perancangan itu sudah semestinya bermula dengan pelajar yang cemerlang kerana pendidikan menjamin masa depan lebih baik.

“Belajar bukan sesuatu yang payah. Pelajar hanya perlu menyukainya dan sudah pasti kejayaan akan menyusul,” katanya.

Menurutnya, kerajaan melalui pelbagai agensinya seperti Yayasan Pelajaran MARA mengambil peranan dan tanggungjawab untuk membantu golongan pelajar dari ibu bapa yang kurang berkemampuan serta memberikan pelbagai bantuan termasuk kewangan dan sebagainya.

“Walaupun bantuan ala kadar, namun ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa bagi menghadapi persediaan awal persekolahan anak-anak, apatah lagi dalam situasi ekonomi negara yang tidak menentu maka sumbangan ini sudah pasti cukup bermakna,” katanya.

Pada majlis tersebut seramai 100 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan iaitu 50 orang dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan 50 orang dari DUN Klias menerima sumbangan wang tunai dari Yayasan Pelajaran MARA bernilai RM100 seorang.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu, Dr Suntik Tuin; Pengetua SMK Menumbok, Rosley Ajam; Pegawai MARA Daerah Beaufort Fadzil Liasmen dan Yang Dipertua PIBG SMK Menumbok yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Mohd Taib.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.