Mohd Shahar Teruskan Khidmat Bakti, Bantu Tangani Aduan Peneroka

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah meneruskan khidmat bakti beliau di kawasan dengan mendengar segala aduan yang disuarakan rakyat.

Terkini beliau menerusi hantaran di Facebook, berkongsi permasalahan yang dibawa oleh peneroka yang berdepan kesukaran untuk mengeluarkan hasil ladang akibat pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Bagi menyelesaikan aduan itu, Mohd Shahar berhubung dengan pihak ECRL bagi mengadakan pertemuan dengan wakil peneroka.

“Tempoh hari saya terima aduan oleh Ketua Peneroka Felda Lepar Hilir 2 berkenaan masalah yang dihadapi beberapa peneroka yang tidak dapat mengeluarkan hasil ladang mereka disebabkan kerja-kerja pembinaan tebing oleh pihak ECRL di ladang Blok 13, Felda Lepar Hilir 2.

“Sehubungan itu, saya telah meminta pihak ECRL untuk membuat pertemuan dengan pihak peneroka yang terlibat dan menyelesaikan isu berkenaan.

“Maklumat terkini yang saya terima laluan jalan sementara sedang dibina bagi memastikan hasil ladang peneroka yang terlibat dapat dikeluarkan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian kawasan terbabit dalam pada itu, berharap mana-mana pihak yang berhadapan dengan isu membabitkan ECRL untuk berhubungan dengan Pusat Khidmat Rakyat Paya Besar.

“Saya juga minta siapa-siapa yang ada masalah dan isu yang berkaitan dengan projek ECRL di sekitar kawasan anda untuk memaklumkan kepada pejabat saya, agar saya dapat bantu untuk berbincang terus dengan pihak ECRL,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.