Kenaikan Kadar Pencen Minimum Skim Keilatan Diharap Ringankan Beban Kewangan Penerima – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO, telah melaksanakan penyelarasan kos sara hidup bagi semua penerima faedah berkala dan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan PERKESO, berkuat kuasa 1 Januari 2023 lalu.

Menurut beliau pelaksanaan kedua-dua inisiatif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] ini memberi manfaat kepada lebih 456,000 penerima faedah PERKESO di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

“Kadar pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala PERKESO yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 adalah antara 0.7 peratus hingga 9.4 peratus mengikut tarikh terakru (tahun pencen diterima). Kedua-dua langkah tersebut melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM 234 juta.

“Pelaksanaan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan ditingkatkan daripada kadar sedia ada iaitu sebanyak RM475 sebulan kepada RM550 sebulan. Peningkatan kadar pencen minimum ini akan memanfaatkan kira-kira 56,000 penerima faedah dan melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM21 juta.

“Adalah menjadi harapan PERKESO agar kedua-dua inisiatif ini akan dapat meringankan beban kewangan, meningkatkan kesejahteraan dan memenuhi keperluan sosio-ekonomi penerima-penerima faedah PERKESO,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Parlimen, pagi tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah Kementerian berhasrat untuk mengkaji had umur bagi kelayakan manfaat pencarum PERKESO yang kini terhad sehingga 60 tahun dinaikkan kepada had umur yang lebih lanjut contohnya kepada 70 tahun.

Abdul Rahman seterusnya menambah Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO dari semasa ke semasa sentiasa melaksanakan penambahbaikan dalam memastikan ekosistem keselamatan sosial negara dapat dipertingkatkan dan sentiasa kekal relevan.

“Had umur bagi kelayakan manfaat pencarum PERKESO untuk Pencen Ilat dan Pencen Penakat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] masih kekal sehingga hari ini iaitu 60 tahun. Pindaan had umur kelayakan daripada 55 tahun kepada 60 tahun telahpun dilaksanakan oleh PERKESO mulai 2017 selaras dengan Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

“Berdasarkan statistik PERKESO, jumlah keseluruhan pencarum aktif di bawah Akta 4 yang berumur 60 tahun dan ke atas pada 1 Januari sehingga 13 Februari 2024 adalah seramai 183,992 orang.

“Untuk makluman Dewan Yang Mulia, PERKESO dengan kerjasama International Labour Organization (ILO) telah menjalankan Kajian Penilaian Aktuari setiap lima (5) tahun. Kajian ini akan mengkaji penyelarasan faedah-faedah PERKESO dengan mengambil kira kos sara hidup dan kadar inflasi semasa serta kemampanan dana PERKESO,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.