Bincang Integrasi Aliran Pendidikan Bukan Melampau – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan menegaskan bahawa permintaan Pemuda UMNO Malaysia bagi membincangkan integrasi aliran pendidikan kebangsaan dan vernakular bukanlah sesuatu yang melampau.

Ini kerana katanya, Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan agar dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

“Ini adalah kerana segregasi yang berlaku di negara kita bermula dari bangku sekolah lagi dan ia memberikan kesan buruk kepada perpaduan rakyat negara kita ini, dan ini sokong secara akademik, bukannya omongan politik kosong.

“Dan ia bukan hanya bermula baru-baru ini oleh Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong malah telah dibahaskan oleh ahli akademik sejak dari dahulu lagi.

“Malahan mendiang Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim pernah menyatakan semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan kerana sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

Shah Zanuriman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Selangor berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini susulan cadangan Dr Akmal Saleh bagi merapatkan kembali jurang perpaduan antara kaum di negara ini iaitu membincangkan integrasi aliran pendidikan kebangsaan dan vernakular.

Dalam hal ini beliau turut menolak dakwaan tentang kononnya membincangkan sekolah pelbagai aliran sebagai mencabar perlembagaan.

“Satu masa dahulu perbincangan tentang meminda had umur mengundi juga telah dibincangkan secara terbuka sebelum ia dipinda. Tidak pula ketika itu mana-mana pihak mempertikaikan perbincangan tentang perkara itu.

“Setakat hari ini, tidak ada mana-mana pihak pernah dijatuhkan hukuman kerana membincangkan tentang perkara-perkara dalam perlembagaan secara dialog mahu pun forum umum.”

Justeru katanya lagi seharusnya, semua pihak menyahut baik seruan Pemuda UMNO Malaysia untuk ruang dialog diadakan dan menyatakan hujah serta membuktikan pandangan secara ilmiah, bukannya mengugut dengan menggunakan perkataan perlembagaan dan mahkamah. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.