Bincang Demi Solusi Positif, Main Peranan Semua Kaum Fasih Berbahasa Kebangsaan – Syauqi Ibnihajar

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad menyeru agar suatu perbincangan yang lebih terbuka dalam mencari solusi positif berkaitan isu bahasa dilaksana.

Jelas beliau, sememangnya ramai lepasan sekolah vernakular gagal berbahasa kebangsaan dengan fasih, sejak puluhan tahun lalu.

“Kenapa semua kaum minoriti di negara-negara lain boleh berasimilasi dan bertutur loghat bahasa di negara tersebut dengan fasih, tetapi di Malaysia masih ramai yang tidak mahu berusaha untuk menjadi warganegara yang sejati.

“Jangan cuma sering melaungkan slogan bangsa Malaysia, tetapi culas untuk memperkasakan bahasa Malaysia sebagai bahasa utama negara.

“Sekolah-sekolah vernakular jika tetap ingin diteruskan, harus mencari jalan supaya pelajar-pelajar mereka dapat diajar agar fasih berbahasa kebangsaan dan dapat berasimilasi sepenuhnya dalam masyarakat Malaysia yang majmuk,” katanya.

Mengulas lanjut, Syauqi mengharapkan semua kaum dapat memainkan peranan yang penting terutamanya fasih berbahasa kebangsaan.

“Semua pihak harus mencari jalan dan berusaha supaya semua kaum dan etnik di Malaysia dapat bertutur bahasa kebangsaan dengan fasih, bukan mencari alasan dan seribu satu sebab agar jurang bahasa ini berterusan.

“Hanya dengan sedikit komen bahawa sekolah vernakular telah mewujudkan jurang bahasa di negara ini, telah mengundang persepsi dan komen negatif dari pelbagai pihak. Entah apa motif perjuangan dan ideologi politik mereka sebenarnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu Syauqi juga berkata, kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh bukannya sentimen berbaur perpecahan tetapi mahukan generasi masa depan dapat hidup lebih harmoni.

“Membaca ciapan dan kenyataan Dr Akmal sebelum ini, saya tidak nampak apa-apa niat yang jahat yang berbaur sentimen perpecahan, tetapi kenyataan beliau lebih kepada mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bertutur bahasa kebangsaan yang sama, mempunyai kefasihan yang setara di segenap lapisan masyarakat supaya generasi masa depan dapat hidup lebih harmoni tanpa apa-apa jurang pemisah,” ujarnya.

Pada masa yang sama kata Syauqi, pujian harus diberikan kepada menteri-menteri dan wakil rakyat serta mereka yang bukan hanya mewakili kaum Cina atau India tetapi juga seluruh masyarakat.

“Pujian harus diberikan kepada beberapa pemimpin politik termasuk ahli-ahli Parlimen dan menteri berketurunan Cina, India dan kaum-kaum lain yang fasih berbahasa kebangsaan dan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia ketika melaksanakan tugas-tugas rasmi mereka.

“Sebagai wakil rakyat dan menteri, mereka bukan hanya mewakili kaum Cina atau India di kawasan atau kementerian mereka, tetapi mewakili seluruh masyarakat berbilang kaum,” ujarnya lagi.

Terdahulu Dr Muhamad Akmal mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan langkah-langkah interim antaranya penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan, dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.