KEB Jaga Kepentingan Bumiputera, Tanpa Ketepikan Kaum Lain

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kerajaan Perpaduan komited dalam menjaga kepentingan bumiputera dengan pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, di samping tidak mengenepikan kaum-kaum lain di negara ini, kata Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim.

Katanya, perkara itu seperti mana diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjaga lapisan masyarakat.

“TPM ada menyebut kepada kaum-kaum lain supaya tidak risau atau ketinggalan tidak diberi peluang di dalam apa-apa sektor.

“Beliau menyebut kaum-kaum lain juga akan mendapat keistimewaan seperti yang kita bagi kepada bumiputera dalam bentuk lain, dalam erti kata Kerajaan Madani akan tetap menjaga semua kaum yang ada di negara ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau dalam pada itu menyambut baik hasrat kerajaan bahawa penganjuran KEB ini adalah dengan tekad untuk mempertahankan agenda bumiputera sedia ada seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Saya melihat semasa ucapan TPM beliau ada menyebut tentang DEB yang kita sedia maklum telah disebut di setiap kali Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun tentang dasar ekonomi untuk membantu bumiputera.

“Ucapan TPM akan meneruskan DEB supaya dapat direalisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai 30 peratus daripada sektor korporat bumiputera yang ada di dalam negara kita akan berjaya seperti yang kita impikan tercapai,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid pada ucapan perasmian berkata KEB merupakan hasil cetusan UMNO pada Perhimpunan Agung pada Jun 2023 dengan membawa tekad untuk mempertahankan agenda bumiputera yang sedia ada.

Beliau teruja kerana kongres ini turut mengingatkan kepada siri-siri KEB sebelum ini yang juga diadakan atas hasil usaha dan buah pemikiran UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.