KEB Platform Terbaik Audit Pencapaian Ekonomi Bumiputera – Sharkar

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) dilihat platform terbaik dalam usaha membuat ratifikasi atau audit pencapaian ekonomi bumiputera selama enam dekad dan ianya adalah satu langkah yang amat bertepatan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata menerusi kongres berkenaan sudah pasti bukan sahaja ukuran pencapaian ekonomi bumiputera akan dapat dilihat malah sudah pasti akan dicari jalan penyelesaian tuntas ke arah kecemerlangan pada masa depan.

Menurut beliau dengan segala cabaran dan dengan pelbagai gelombang ekonomi yang mendatang dan hari ini sudah pasti langkah untuk berdepan perkara-perkara sedemikian rupa memerlukan tindakan sewajarnya.

“Inilah yang sepatutnya dan inilah yang sewajarnya setelah enam dekad kerajaan boleh menyelami dan melihat secara mendalam bagaimana pencapain ekonomi bumiputera hari ini setelah enam dekad berlalu.

“Jalan penyelesaiannya mesti ada…langkah untuk mencari segala kesimpulan sudah pasti akan terbit dan terasnya atau paksinya tidak dapat lari daripada memperkatakan soal kestabilan kerana ianya adalah punca kepada segala-galanya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah dalam apa jua keadaan dan situasi kestabilan mestilah wujud malah itulah yang bakal menggerakkan segala-galanya dalam apa jua pelaksanaan serta langkah yang diambil nanti.

“Apa pun perlu ada kestabilan… peluang serta penyelesaian kepada bumiputera kerana bumiputera adalah kaum teras di negara ini. Kita boleh tengok hari ini apabila bumiputera tidak sekata, negara tidak menentu apabila politik tidak stabil,” ujarnya.

Ujar beliau lagi ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi ucaptama KEB telah menggariskan enam tekad dan tiga ikhtiar bagi mencapai Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) bagi menggambarkan keseriusan kerajaan dalam usaha memastikan ekonomi bumiputera terus cemerlang.

“Tekad berkenaan merupakan mempertahankan agenda bumiputera, mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok serta menutup ketirisan pelaksanaan dasar dan inisiatif agenda bumiputera.

“Selain itu turut digariskan mewujudkan jalinan tulen ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera, mengenal pasti peluang dan perkembangan ekonomi baharu masa hadapan serta menjamin untuk tidak meminggirkan atau menafikan hak kaum lain adalah antara yang perlu kita sama-sama jayakan,” ujarnya

KEB yang bermula Khamis dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menggariskan enam tekad dan tiga ikhtiar bagi mencapai Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB).

Bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif, KEB 2024 berlangsung selama tiga hari itu merupakan anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Hari ini merupakan hari terakhir KEB, akan menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka menghadiri majlis penutup.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.