KEB Bukti Komitmen UMNO, Kerajaan Perpaduan Angkat Aspirasi Bumiputera

PUTRAJAYA, 2 Mac – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 memberikan makna tersendiri kepada ahli UMNO apabila idea cetusan penganjurannya diusulkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kata Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Katanya ini membuktikan bahawa UMNO komited dalam membawa perjuangan serta kepentingan kaum Melayu dan bumiputera dengan penganjuran KEB di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“KEB ini berakar umbi daripada peringkat masyarakat termasuklah entiti parti. Melalui Perhimpunan Agung UMNO sudah ada banyak cadangan dan ruang pandang untuk mengadakan kongres seumpama ini kerana ia perlu dan untuk kita bawa idea baharu

“UMNO sudah pasti akan memikirkan perkara-perkara penting khususnya bangsa Melayu dan Bumiputera, saya yakin satu kepuasan juga kepada ahli UMNO apabila kongres ini dapat dilaksanakan melalui Kerajaan Perpaduan yang mempunyai kebersamaan yang dapat dilakukan insya-Allah,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dalam pada itu, Nizar turut berkata KEB bukan sekadar cetusan idea-idea baharu sebaliknya akan dilaksanakan seperti tiga ikhtiar bagi mencapai Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) seperti mana diumumkan Timbalan Perdana Menteri.

“KEB mampu mencetuskan idea-idea yang luar biasa, hala tuju visi misi dan juga ikthiar ini adalah penting kalau kita hanya merancang tetapi tidak ada ikhtiar mana mungkin dapat dilaksanakan.

“Saya yakin dan percaya kongres ini akan memberikan impak yang cukup besar, bagaimana kita dapat membawa elemen-elemen baru untuk kedudukan rakyat dan juga bumiputera yang ada di negara kita,” ujar beliau.

Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggariskan tiga ikhtiar bagi mencapai TEB, antaranya melibatkan cadangan mewujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera yang bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

Manakala ikhtiar kedua merupakan Waqaf Kesihatan dan Pendidikan Bumiputera yang akan menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berterusan kepada Bumiputera.

Ikhtiar ketiga adalah mengindustrikan pertanian melibatkan bumiputera dalam sektor pertanian tanaman makanan yang berskala besar, serta dapat menjamin pengeluaran sumber makanan negara,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.