Program Peduli Rakyat UMNO Labuan Berterusan, Santuni Bakal Pengantin Untuk Majlis Kenduri

LABUAN, 1 Mac – Cuti penggal persekolahan yang berlangsung sekarang ini menjadi musim berkenduri bagi masyarakat khususnya dalam melaksanakan majlis perkahwinan.

Lantaran itu, UMNO Bahagian Labuan meneruskan Program Peduli Rakyat dengan menyantuni bakal pengantin bagi menyampaikan bantuan berupa pemberian beras untuk kegunaan majlis kenduri kepada mana-mana ahli keluarga yang bakal mengadakan majlis perkahwinan.

Ketuanya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, aplikasi yang telah dilaksana sejak awal tahun lalu diteruskan bagi meringankan beban penduduk kerana memahami bahawa suasana ekonomi hari ini banyak memberi tekanan kepada rakyat.

“Kita mahukan keselesaan dan kesejahteraan malah kita meraikan orang ramai dalam suasana harmoni dengan meneruskan inisiatif memberikan beras kepada setiap keluarga yang akan berkenduri, yang tentunya akan membantu mengurangkan beban perbelanjaan,” katanya kepada UMNO Online.

Terang beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sememangnya telah menjadi kebiasaan kepada parti untuk melaksanakan khidmat bakti dengan menggunakan apa-apa sahaja alternatif demi kepentingan rakyat.

“UMNO adalah parti perjuangan yang bukan hanya berteraskan politik tetapi juga meliputi keperluan pengisian dalam kehidupan, maka apa yang kita laksanakan ini adalah untuk meneruskan kebersamaan UMNO yang sentiasa ada demi rakyat.

“Bukan hanya tuntutan untuk perkara yang lebih besar sebagaimana ekonomi tempatan dan infrastuktur yang perlu diangkat tetapi UMNO Labuan juga cakna terhadap ruang dan keperluan sehinggalah membabitkan kepada kenduri-kendara dan majlis perkahwinan.

“Semoga dengan bantuan yang diberi ini dapat menggembirakan mereka yang terlibat, kurang beban dalam urusan persediaan dan mampu tersenyum untuk meraikan ahli keluarga yang bakal menerima raja sehari,” katanya.

Terbaru, penyampaian bantuan beras ini telah dilaksana di Kampung Ranca-rancha, Sungai Bedaun dan Sungai Miri yang dilaksana oleh ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Labuan.

Sehubungan itu Mohd Rafi merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada mereka yang sentiasa komited melaksanakan usaha turun padang serta meneruskan Program Peduli Rakyat.

“Saya amat menghargai sokongan dari sahabat-sahabat UMNO Labuan yang sentiasa menyokong usaha demi rakyat malah menunjukkan kesepakatan dalam menjayakan apa-apa program yang kita telah rencanakan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.