Pemuda UMNO Kecam Tindakan Tidak Hormat Institusi Raja, Saran Undang-undang Khas Digubal

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Pemuda UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang tidak menghormati institusi raja dan akan terus menegur mana-mana individu atau parti yang melakukan sedemikian.

Sehubungan itu Ketuanya, Dr Akmal Saleh memaklumkan bahawa Pemuda UMNO Malaysia menyarankan agar satu undang-undang khas digubal oleh kerajaan dan Parlimen untuk mengawal sebarang tindakan tidak beradab malah derhaka terhadap Institusi Raja-raja Melayu sejajar dengan Prinsip Rukun Negara.

Katanya, institusi raja bukan modal untuk sesiapa meraih dividen politik bagi survival mana-mana individu atau parti.

“Ia harus dimartabat, dipelihara dan dihormati,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu Dr Akmal merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh beberapa pimpinan politik terhadap institusi raja baru-baru ini yang dianggap menunjukkan satu sikap tidak beradab dan mewujudkan prasangka terhadap institusi Raja-raja.

“Pertama berhubung kenyataan sinis YB Tan Sri Hadi Awang yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Sultan Selangor dengan sikap Raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.

“Kedua berhubung, YB Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang pula dalam satu kenyataan mengulas Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sempena Pembukaan Parlimen Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas, beliau menyatakan ‘Agong telah crossed the line’.”

Ujarnya, kedua-dua ahli politik ini telah membuat satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-raja Melayu.

“Saya yakin konteks yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor adalah bertujuan untuk memastikan keharmonian, kestabilan dan kesatupaduan rakyat Malaysia terus terpelihara dan fokus diberikan sepenuhnya kepada usaha memajukan negeri dan negara.

“Saya juga yakin bahawasanya, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor amat arif dan mendapat nasihat serta pandangan yang cukup berkenaan soal perlembagaan dan tugas sebagai pemelihara Islam sebagai agama rasmi Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

Kenyataan Media KPUM 1 Mac 2024

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.