Masuki Hari Kedua, KEB 2024 Teruskan Agenda Bincang Hala Tuju Ekonomi

PUTRAJAYA, 1 Mac – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) ternyata membawa kemeriahannya yang tersendiri apabila dibanjiri dengan peserta dari seluruh negara,  terdiri daripada profesion berbeza bagi meneruskan perbincangan berkaitan hala tuju bangsa.

Diteruskan pada hari kedua, KEB pada hari ini memfokuskan diskusi yang menghimpunkan panel-panel daripada pelbagai latar belakang.

KEB pada sesi pagi dimulakan dengan Pembentangan Hasil Sesi Libat Urus yang menyentuh berkenaan Sosioekonomi Bumiputera Sarawak, Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli dan Penguasaan Korporat Dan Penciptaan Kekayaan masing-masing oleh Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Kongres ini kemudiannya akan menyaksikan Diskusi Madani yang terbahagi kepada tiga sesi iaitu Mendepani Cabaran untuk Menoktahkan Kemiskinan Tegar, Mencipta Peluang Bumiputera dalam Peralihan Tenaga dan Peluang Meningkatkan Skala Usahawan Mikro dan Kecil.

KEB yang bermula semalam dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kehadiran Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahmad Zahid dalam ucaptamanya mengusulkan agar diwujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera menerusi Ikhtiar pertama, Perbadanan Tanah Bumiputera untuk mengekalkan pemilikan tanah Bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

Bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif, KEB 2024 berlangsung selama tiga hari itu merupakan anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Esok merupakan hari terakhir KEB, akan menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka menghadiri majlis penutup. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.