Wujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera, Asas Kestabilan Ekonomi Dan Identiti Kebangsaan

PUTRAJAYA, 29 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengusulkan agar diwujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera menerusi ucapannya dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang berlangsung hari ini.

Katanya yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi Ikhtiar pertama, Perbadanan Tanah Bumiputera adalah bagi mengekalkan pemilikan tanah Bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

“Perbadanan ini bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

“Adalah disyorkan, semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot-plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan diurustadbir melalui perbadanan ini,” katanya.

Jelas beliau, penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera merupakan langkah proaktif untuk menjamin keseimbangan demografi kaum; mewujudkan kelangsungan kawasan usaha Bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu; dan usaha tambahan mengekalkan pemilikan Bumiputera.

“Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.

“Melalui perancangan teliti dan strategik, setiap kawasan usaha diharapkan memberi manfaat maksimum kepada komuniti Bumiputera, mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.