Jalaluddin Saran Kerajaan Kaji Dan Keluarkan Blueprint Baharu FELDA

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sudah sampai masanya kerajaan melihat semula, mengkaji dan mengeluarkan satu blueprint baru untuk FELDA secara keseluruhannya.

Bagi beliau yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, sudah semestinya apabila bercakap tentang FELDA, ianya tidak akan dapat lari dari menyentuh soal Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960.

“Saya pernah bangkitkan berkenaan isu Akta GSA dalam perbahasan saya sewaktu Belanjawan 2023 yang lalu, dan jawapan yang saya terima dari YB Menteri menyatakan pihak kerajaan juga bersetuju bahawa sudah sampai masanya untuk akta ini dipinda.

“Menteri menyatakan bahawa Jawatankuasa Khas Penyelarasan Pindaan Akta 530 telah ditubuhkan yang mana Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK) JPM dan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Pengarah Besar FELDA.

“Saya difahamkan juga Ahli Jawatankuasa terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan iaitu pihak JPM, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Bahagian Kawal Selia Felda (BKSF), FELDA dan FELCRA serta ahli jemputan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk penglibatan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi membahaskan usul menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Meneruskan ucapannya, beliau turut bertanya adakah senarai Ahli Jawatankuasa berkenaan telah dikemaskini pasca PRU dan PRN 2023 kerana sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal FELDA di peringkat Negeri, beliau tidak dilibatkan dalam mana-mana jawatankuasa ini.

Katanya lagi berdasarkan jawapan yang diterima, dimaklumkan sekarang gerak kerja masih berada di peringkat pengumpulan isu untuk diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Adakah pihak Kerajaan mempunyai satu garis masa yang telah ditetapkan bilakah pindaan terhadap Akta ini akan dibawa untuk dibahaskan di Dewan Rakyat. Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak Kerajaan, supaya satu sesi libat urus khas bersama Ahli-Ahli Parlimen dan juga ADUN-ADUN bagi 54 kawasan Parlimen yang mempunyai Rancangan FELDA ini.

“Ini kerana Ahli Parlimen dan ADUN kawasan tersebut menjadi tempat rujukan dan pengumpulan masalah warga FELDA dan sudah semestinya mereka mempunyai pandangan yang baik dan mewakili suara Masyarakat FELDA di kawasan masing-masing.

“Besar harapan saya jika pindaan terhadap Akta ini dapat dilakukan dengan kadar segera, memandangkan Akta ini sudah terlalu lama dan banyak klausa yang sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

“Saya percaya jika Akta ini dapat dipinda mengikut keperluan semasa, pelbagai isu berbangkit di kalangan Masyarakat FELDA dapat kita selesaikan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.