Tolak Naratif Pihak Lawan, Terap ‘Mindset’ Peperangan Dengan Fakta Tepat – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Para jentera penerangan UMNO diseru untuk mengubah’mindset’ sedia ada dan menerapkan pemikiran ke arah minda peperangan dengan menerapkan maklumat yang benar dan tepat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, pihak pembangkang tidak akan berhenti untuk mencipta pelbagai naratif dan fitnah bagi memburukkan UMNO/Barisan National (BN)

“Kita perlu ingat bahawa mereka (pembangkang) juga memburukkan kita. Mereka mencipta cerita, membuat fitnah tentang kita. Mereka mengatakan kitalah yang menggadaikan orang Melayu dan tidak menjalankan pentadbiran dengan baik untuk negara kita sedangkan realitinya tidak benar.”

Justeru katanya, barisan hadapan jentera parti khususnya penerangan mestilah responsif terhadap naratif negatif terutamanya dalam menjawab isu-isu yang sengaja ditimbulkan oleh pihak pembangkang.

“Maksudnya, kalau kita ini barisan hadapan jentera parti sepatutnya kita perlu memikirkan minda peperangan sebegitu rupa. Kita perlu tegaskan dan jelaskan bahawa tuduhan mereka terhadap UMNO tidak benar kerana UMNO tidak pernah menggadaikan parti dan orang Melayu sekalipun bersama dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan kerana keutamaan parti adalah kestabilan.

“Mereka akan cuba cipta apa sahaja cerita untuk melemahkan kita, maka kita perlu lawan menggunakan kaedah terbaik,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh jentera penerangan, ahli dan akar umbi untuk tidak malu mempertahankan hak orang Melayu serta Islam sekiranya diancam.

“Kita sebagai orang UMNO dan Melayu mesti sentiasa mempertahankan hak kita, kita perlu beri tahu akar umbi dan ahli-ahli parti agar cakna dan menjawab pelbagai isu sekiranya ditimbulkan.

“Kita yang kena jawab, bagi penerangan kepada mereka agar mereka juga dapat menangkis tuduhan serta memberi penerangan kepada rakyat keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Razlan turut berharap agar parti dapat mencipta naratif yang baik untuk rakyat Malaysia di samping mencipta kemenangan untuk UMNO/BN.

“Kita kena betulkan ‘mindset’ ini. Kita mahukan informasi yang tepat dan benar diberikan kepada rakyat sekaligus mencipta kemenangan buat parti,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.