Wanita UMNO Sungai Siput Terus Menyusur Akar, Santuni Rakyat Tanda Kebersamaan

SUNGAI SIPUT, 27 Feb – UMNO amat sinonim dengan gerak kerja turun padang dan khidmat bakti kepada rakyat sebagaimana yang dilaksanakan oleh Wanita UMNO Bahagian Sungai Siput.

Ketuanya, Datuk Zaitun Ab Rahman berkata, pelaksanaan gerak kerja menyantuni rakyat adalah antara kebiasaan yang dilakukan oleh beliau bersama-sama ahli jawatankuasanya.

“Saya bersama-sama anggota jawatankuasa Wanita UMNO Sungai Siput telah menyusur akar menziarahi mereka yang kesusahan, ditimpa musibah dan uzur sebagai tanda kebersamaan UMNO dan rakyat dalam pelbagai keadaan,” katanya kepada UMNO Online.

Pada program itu, Zaitun turut turun padang menyampaikan sumbangan, selain meluangkan masa bertanya khabar penduduk kampung.

“Saya berharap agar bantuan yang diberikan sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada masyarakat dan dapat membantu mengurangkan beban dalam urusan perbelanjaan,” katanya

Jelasnya, program sedemikian adalah usaha berterusan Wanita UMNO Bahagian Sungai Siput malah sentiasa mendapat sokongan daripada masyarakat tempatan.

“UMNO adalah parti yang sememangnya dikenali akar umbi dan kita bukanlah fokus kepada politik semata-mata kerana aplikasi yang kita gerakkan adalah menyemai kebersamaan sebagaimana perjuangan yang merentasi pelbagai situasi, menyelami permasalahan dan cuba menjadi saluran terbaik kepada rakyat untuk mendapatkan bantuan, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.