Kerajaan Perpaduan: Perjuangan Melayu-Islam Sentiasa Menjadi Keutamaan UMNO – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 27 Feb – UMNO sentiasa mementingkan perjuangan Melayu-Islam termasuk ketika berada dalam Kerajaan Perpaduan dan ianya akan terus menjadi keutamaan parti, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki.

Jelasnya, UMNO sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran sejak daripada penubuhannya sehinggalah bersama dengan Kerajaan Perpaduan hari ini, malah menjadi serangan pihak lawan berkaitan pelbagai isu.

“Kita jangan mimpi dalam satu keadaan UMNO akan sunyi dengan isu. Sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini, perjuangan itu sudah tentu tidak akan lengkap kalau tiada ombak dan rintangan. Bukan sahaja berhadapan tentangan luaran bahkan cabaran dalaman yang begitu hebat.

“Dalam aspek perjuangan Melayu, Bumiputera dan Islam, UMNO telah diberikan pengharapan dan tanggungjawab besar di dalam kerajaan. Sebab itu, kalau orang kata UMNO meminggirkan agenda ini maka ianya tidak betul sama sekali,” katanya ketika memberikan ucapan semasa Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia, di sini pada Sabtu.

Dalam masa yang sama, kepimpinan dan jentera parti tidak boleh lagi mengharapkan pendekatan lama seperti taqarrub untuk mendekatkan diri mereka bersama rakyat.

“Dalam konteks hari ini kita berhadapan dengan situasi yang menunjukkan bahawa kepimpinan dan jentera tidak boleh mengharapkan pendekatan lama… memfokuskan penerangan taqarrub sahaja sebagai contoh, kerana maklumat diperolehi rakyat hari ini memanfaatkan digital termasuklah TikTok.

“Saya jangka tiga atau empat tahun akan datang, TikTok sudah tidak lagi relevan. Terbaharu adalah aplikasi kepintaran buatan (AI) kerana kita dapat lihat kesannya begitu besar dalam pilihan raya di Pakistan dan Indonesia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru jentera penerangan untuk bekerja dengan lebih proaktif dalam memberikan maklumat tuntas kepada ahli dan akar umbi sekiranya timbul naratif jahat yang sengaja dimainkan boleh pihak lawan.

“Kita perlu fokus dan memberikan tumpuan kepada isu-isu yang melingkari akar umbi. Peranan ketua-ketua penerangan besar kerana terdapat pelbagai isu yang dimanipulasi oleh pihak lawan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.