Sokong Golongan Muda Lanjut Pengajian, Terapkan Pandangan Positif Terhadap Pelajar Aliran Agama – Nik Mohd Nadzri

KENINGAU, 26 Feb – Masyarakat perlu mengubah pandangan yang suka membandingkan kemampuan pelajar aliran agama dengan sains atau sastera yang menganggap pelajar aliran agama tiada prospek masa depan, memasuki unversiti atau mendapat pekerjaan apabila tamat pengajian.

Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, anggapan pelajar aliran agama sebagai aliran kelas kedua yang tidak mampu memberi persaingan kepada pelajar sains atau sastera merupakan tanggapan salah.

Menurut beliau aliran agama pada hari ini sudah ada pelbagai peningkatan yang mengagumkan malah mencapai kejayaan yang cemerlang serta mampu bersaing dalam kelompok masyarakat yang lebih luas.

“Ini satu tanggapan yang sama sekali tidak benar, malah boleh memberi impak serta menjejaskan pandangan orang lain,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke bangunan Sekolah KAFA Kampung Keningau, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Nik Mohd Nadzri pada dasarnya sememang pelajar aliran agama akan mengambil aliran tersebut sebagai keutamaan, namun bukanlah 100 peratus menumpukan perhatian pada subjek agama, sebaliknya ada juga mata pelajaran geografi, sains, matematik dan lain-lain.

“Sekolah agama kebangsaan kini telah jauh membangun kerana ia sudah diselaraskan silibusnya mengikut aliran kebangsaan dan mempunyai ruang lingkup yang lebih luas,” katanya.

Menurutnya, jika pelajar lain mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), pelajar aliran agama mempunyai Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang melayakkan mereka menjejakkan kaki di menara gading.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah berpendapat, masyarakat khususnya ibu bapa perlu diberi lebih banyak maklumat mengenai aliran agama supaya mereka tidak lagi memandang serong potensi pelajar aliran itu.

“Jika maklumat diperoleh itu salah dan tidak diperbetulkan, mereka terus beranggapan aliran ini tidak mempunyai potensi melahirkan tenaga kerja berbentuk profesional,” katanya yang mahukan golongan belia mendapat pendidikan seimbang dan sokongan dari semua pihak. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.