Jentera Penerangan Perlu Guna Pendekatan Lebih ‘Sophisticated’, Tarik Semula Undi Rakyat – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Para jentera penerangan perlu menggunakan pendekatan yang lebih canggih (sophisticated) untuk menarik semula undi rakyat, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Jelasnya, pembangunan negara akan lebih sempurna sekiranya pendekatan dalam aplikasi media sosial terkini turut disertai dengan naratif yang efektif.

“Pada saya, kita boleh membangunkan negara tetapi sekiranya pembangunan tersebut tidak mempunyai naratifnya maka tiada makna.

“Sebab itu kita dapat melihat banyak perubahan dalam masa yang singkat. Kita mengendalikan media dan ianya berubah dalam masa yang sangat laju. Satu masa nanti kita kena terima hakikat bahawa tidak ada lagi ‘hantu raya bertuan’,” katanya yang juga Pengerusi Felda ketika menyampaikan ucapan penutup sempena Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan para jentera penerangan untuk lebih bersikap realistik dan berusaha menggunakan pelbagai pendekatan bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Ini adalah ‘task’ yang begitu besar. Sebab itu saya percaya apabila kursus ini diadakan, ianya diaplikasi dengan pelbagai pendekatan. Dunia sekarang ini memang memerlukan kepelbagaian dan kita mesti bersifat realistik.

“Zaman UMNO menang banyak-banyak kerusi sudah terlalu ‘luxury’. Kita kena positif dan saya percaya tidak pernah ada kerajaan yang terbaik selain pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Kerana hanya UMNO yang dianggap sebagai satu organisasi universiti melahirkan kepimpinan terbaik sehingga sekarang. Hanya UMNO yang ajar sebelum jadi perdana menteri, kena jadi timbalan perdana menteri… kalau kita lihat dahulu sebelum jadi perdana menteri pun perlu jadi pelbagai menteri yang ada pengalaman dan kemudian memanfaatkannya dalam pentadbiran negara,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut mengharapkan agar UMNO akan kembali kuat dengan dukungan ahli dan akar umbi yang sentiasa menumpahkan setia tidak berbelah bahagi.

“Insya-Allah dengan kekuatan, kesungguhan dan sokongan ditunjukkan berserta kesetiaan kepada parti, UMNO/BN akan tetap menjadi parti yang berkesan kepada negara,” katanya.

Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia diadakan selama dua hari bermula pada Sabtu melibatkan Ketua-Ketua Penerangan UMNO Negeri-Negeri dan Bahagian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.