Agong Seru Perkukuh Perpaduan, Tidak Menghasut Dengan Mainkan Isu 3R

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R (race, religion and royalty).

Titah Baginda, semua sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara yang mesti dihormati dan ia adalah hasil daripada persetujuan Raja-Raja Melayu untuk membentuk Persekutuan dan memberikan punca kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang.

 

“Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan akan terus kekal dipelihara. Namun begitu, agama-agama lain masih dibenarkan untuk diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba memutarbelitkan atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini.

“Saya berpuas hati dengan langkah-langkah yang dilaksanakan Kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963. Saya berharap agar perjanjian yang dimeterai ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan dalam memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.”

Baginda bertitah ketika Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15, hari ini.

Sultan Ibrahim menambah, pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah sama seperti Agong yang lepas iaitu mengikut Perlembagaan dasar dan peraturan yang ditetapkan.

 

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak sama ada yang duduk di sebelah kanan Saya atau yang di sebelah kiri Saya, marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan diletakkan di bahu Perdana Menteri sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab semua 222 Ahli Dewan Rakyat kerana Yang Berhormat semua telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil rakyat mereka di dalam Kerajaan.

“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, saya berharap semua Ahli Dewan akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup seluruh rakyat.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.