Alu-Alukan Penubuhan RCI… Beri Pemahaman Menyeluruh, Rungkai Apa Yang Berlaku – Norshida

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh kerajaan bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tepat pada masanya.

Bagi Ketua Wanita UMNO Segamat yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Norshida Ibrahim ia bakal memberi peluang serta ruang untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku pada satu masa dahulu berkaitan perkara tersebut.

Tentunya tegas beliau masyarakat umum ingin tahu apakah perkara yang berlaku pada waktu itu dan sekaligus dapat merungkai serta membincangkan permasalahan yang berlaku sebelum ini secara terus-terang dan sebagainya lagi.

“Sudah pasti inilah yang dinanti-nantikan dan langkah yang diambil oleh kerajaan hari ini amat tepat. Masing-masing tidak tahu dan sudah pasti semua ingin mendapatkan penjelasan yang tuntas berhubung perkara berkenaan.

“Cumanya kita berharap mereka yang dipanggil kelak oleh suruhanjaya terbabit boleh memberikan kerjasama yang sewajarnya untuk kepentingan bersama sekaligus melancarakan perjalanan RCI tersebut,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Memetik laporan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, memperkenankan penubuhan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, berkuat kuasa serta merta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Menurut kenyataan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bersama dengan Ketua Pengarah BHEUU JPM Zamri Misman menghadap dan menyembah maklum Sultan Ibrahim mengenai cadangan kerajaan mengenai penubuhan RCI berkenaan.

Norshida seterusnya menambah biarpun isu berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah lama berlalu namun ia amat penting kerana melibatkan soal kedaulatan negara.

“Kita berharap RCI ini nanti dapat melihat secara menyeluruh. Sepertimana yang saya tekankan tadi, mereka yang dipanggil nanti dapatlah memberi keterangan sebaiknya supaya kita semua tahu dan jelas berkaitan fakta yang sebenarnya… apa yang berlaku pada masa itu kerana rakyat di luar sana dan kita sama-sama ingin tahu,” ujarnya.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.

Lanjutan itu, Anwar pada Disember turut meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.

Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.