Terima Kasih MB Pahang Cakna, Prihatin Terhadap Pihak Yang Memerlukan – Shahaniza
KUALA LUMPUR, 22 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang cakna dan prihatin kepada pihak yang memerlukan di kawasan Parlimen Maran.
Dalam satu perkongsian di Facebooknya, Ketua UMNO Bahagian Maran itu hari ini telah berkunjung ke beberapa kawasan sekitar Chenor bagi menyerahkan cek sumbangan daripada kerajaan negeri kepada mereka yang terbabit.
“Semoga sumbangan-sumbangan ini dapat dimanfaatkan oleh semua penerima-pemerima. Semuanya dibantu tanpa mengira ideologi politik.
“Yang layak, yang susah, yang perlu, kita tetap akan cuba bantu. Ini kerana semua ini adalah duit rakyat,” katanya.
Ulasnya juga, dari Bandar Baru Chenor ke Tanjung Perang, beliau turut ke Sekara dan Pesagi dan berakhir di Kg. Kuala Wau.
“Jauh berjalan, luas pandangan. Dapat juga bertemu masyarakat dan penduduk sekitar Chenor. Ceria muka-muka orang Chenor, mungkin sebab hari ini ada ‘pekan sari’. Jumpa pula kawan-kawan lama. Makin hangatlah boraknya,” ujarnya.
Manakala dalam status terdahulu, Shahaniza juga berkongsi rutin mingguannya Hari Bersama Rakyat pada setiap hari Rabu di Pejabat UMNO Bahagian Maran di Pekan Tajau, Maran.
Jelasnya, pelbagai peringkat masyarakat telah ditemui antaranya seperti persatuan, agensi kerajaan, sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi.
“Namun, berkali juga saya nyatakan bahawa saya bukan wakil rakyat yang mempunyai pelbagai keistimewaan dan berelaun wakil rakyat. Cuma, saya boleh cuba sedaya saya untuk membantu mempermudahkan urusan dengan menjadi telinga dan mata untuk Kerajaan Negeri Pahang.
“Selain daripada itu, sumbangan sikit-sikit tu adalah untuk saya hulurkan. Yang boleh saya tolong, saya akan tolong.
“Kebetulan, waktu-waktu akhir ada sekumpulan mahasiswa datang membawa pelbagai idea dan perancangan. Hebat anak-anak muda ini,” katanya. – UMNO ONLINE