UMNO Beaufort Siap Siaga Depani PRN, Sedia Tanding DUN Klias Dan Kuala Penyu – Awang Aslee

BEAUFORT, 19 Feb – UMNO Bahagian Beaufort telah membuat persediaan bagi menghadapi Kuala Penyu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ketika tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) masih berbaki sehingga Oktober tahun depan.

Ketuanya Datuk Awang Aslee Lakat berkata dalam hal ini ketetapan ini telah dipersetujui menerusi mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu yang beliau pengerusikan dengan bersedia untuk bertanding di dua kerusi iaitu DUN Klias dan Kuala Penyu.

Beliau berkata jawatankuasa UMNO telah memutuskan dan berharap UMNO Pusat mempertimbangkan hasrat ahli yang mahu UMNO bertanding di dua kerusi dalam Parlimen Beaufort itu.

“Kesepakatan telah kita capai untuk meminta pucuk pimpinan parti bagi meletakkan calon dari UMNO bertanding di dua DUN iaitu Kuala Penyu dan Klias pada PRN akan datang dan cadangan ini akan kita kemukakan kepada UMNO pusat untuk diberikan perhatian serta pertimbangan sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Bahagian terbabit, baru-baru ini.

Menurut Awang Aslee rasional daripada cadangan ini, UMNO bahagian Beaufort telah pun menyusun jentera parti di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang bila-bila masa sahaja boleh digerakkan sekiranya PRN diadakan dalam tempoh yang terdekat.

“Kesiapsagaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan 225 cawangan-cawangan UMNO bahagian Beaufort yang sudah pun disusun atur strukturnya selain jumlah ahli UMNO yang menghampiri 18,000 orang siap siaga berhadapan dengan PRN akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain Awang Asli juga turut menyentuh isu media baharu iaitu beliau mahu peranan media sosial khususnya di bahagian itu diperkasakan dan digerakan secara pro-aktif.

“Kita tahu parti dan pemimpin UMNO kini berhadapan dengan serangan tentera siber pihak lawan dengan pelbagai proganda, fitnah dan cemuhan iaitu pihak lawan menjadikan media sosial sebagai platfrom mereka untuk menyerang parti, justeru kita tidak boleh berdiam diri selain mempertahankan dan membalas serangan mereka secara berhemah dan berfakta,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu media sosial diaktifkan bukan sahaja digerakkan oleh golongan muda iaitu Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO malah ahli biasa di peringkat cawangan juga perlu aktif.

“Baru-baru ini Puteri UMNO Sabah telah menganjurkan kursus media dan Tik Tok, maka saya berharap mereka yang terpilih dari bahagian ini dalam kursus tersebut akan mengembangkan ilmu yang diperoleh untuk mengajar ahli-ahli lain di peringkat cawangan bagi mengaplikasikan media sosial, menyampaikan sebarang maklumat dasar dan perjuangan parti selain program-program parti,” katanya.

Pada mesyuarat tersebut juga UMNO Bahagian Beafort turut menyentuh persediaan untuk menghadapi bulan Ramadan dengan menyusun program-program berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.