RCI Batu Puteh Penting, Kaji Usaha Mengakas Keputusan ICJ – Hasnal Rezua Merican
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah usaha untuk mengkaji segala tindakan termasuk menarik balik rayuan bagi pihak Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Kehakiman Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.
Beliau yang juga Pengamal Undang-undang itu berkata demikian ekoran penubuhan RCI tersebut seperti diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berkuat kuasa serta merta pada Rabu.
“Harapan saya adalah agar terma rujukan atau ‘term of reference’ yang dimandatkan kepada Suruhanjaya ini mencakupi mengkaji sebarang usaha untuk mengakas keputusan Mahkamah Kehakiman Antarabangsa.
“… serta juga mengkaji segala tindakan yang perlu diambil kepada mereka yang bertanggungjawab menarik balik rayuan bagi pihak Malaysia terhadap keputusan Mahkamah tersebut.
“Saya amat berharap pembentukan RCI ini adalah tidak terlalu lampau masa untuk memperjuang mendapatkan semula wilayah-wilayah ini. Ini kerana ia mempunyai kesan yang amat signifikan terhadap sempadan dan perluasan jajahan di antara Malaysia dan Singapura menurut undang-undang Maritim Antarabangsa,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Beliau dalam pada itu berkata penubuhan RCI itu seperti diperkenan Sultan Ibrahim adalah amat menepati masa kerana ketiga-tiga entiti ini bukan sahaja mempunyai signifikasi kedaulatan wilayah-wilayah kepunyaan negara Malaysia tetapi juga wilayah-wilayah yang berada di dalam jajahan negeri Johor Darul Takzim.
Terdahulu pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. – UMNO Online