Mohamad Hasan Santuni Orang Rantau, Kacau Dodol Bersama Rapatkan Saf

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan meneruskan khidmat bakti beliau dengan pendekatan menemui rakyat setempat melalui program yang dekat dengan mereka.

Pada kali ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berbesar hati menyertai Program Budaya Masakan Tradisional di Kampung Stesyen, Kuala Sawah di Rantau.

Menerusi program itu, Mohamad berkesempatan bertemu pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda dan jentera Barisan Nasional/UMNO untuk beramah mesra dan saling bertanya khabar antara satu sama lain.

Mengambil kesempatan itu, beliau juga turut sama menyertai peserta untuk sama-sama mengacau dodol atau lebih dikenali penganan oleh penduduk setempat.

“Hari ini luangkan masa pulang ke Rantau bagi memeriahkan Program Budaya Masakan Tradisional. Alhamdulillah penduduk sekitar bergotong-royong mengacau dodol (kami panggil penganan) sejak awal pagi lagi.

“Sempat jamah nasi lemak dan dodol (penganan cair) yang baru dimasak. Sedap, guna gula kabong (gula enau),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohamad dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung Kuala Sawah Haji Mutalib dan pasukan atas kejayaan menganjurkan program tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.