Lawatan Kerja Ke Jepun: Ahmad Zahid Bertemu Komuniti Malaysia, Harap Tali Persahabatan Berkekalan

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu dengan komuniti Malaysia di Tokyo semasa melakukan lawatan kerja di Jepun dan berharap agar tali persahabatan dibina berkekalan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Presiden UMNO itu turut menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai ruang dan peluang untuk berkongsi mengenai hala tuju Kerajaan Perpaduan di samping mengupas isu-isu semasa dalam negara.


“Sungguhpun baru sehari di sini, saya dan delegasi sudah rasa seperti di Malaysia kembali apabila dapat bertemu dan berkumpul bersama dengan komuniti Malaysia di Tokyo, Jepun.

“Saya kira ini adalah satu ruang dan peluang yang cukup istimewa buat saya bertemu mesra meraikan sambutan Tahun Baru Cina sambil berkongsi cerita khasnya dalam menelusuri hala tuju Kerajaan Perpaduan dan mengupas isu-isu semasa di dalam negara.

“Sempat jua berdialog dengan komuniti Malaysia di sini dan saya berharap tali persahabatan ini berkekalan. Kalau jumpa di mana-mana jangan lupa tegur ya! Arigatou and I wish you all the best,” katanya.

Terdahulu, beliau turut berkesempatan untuk bertemu dengan para pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA yang berada di Jepun serta mendoakan agar mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian.

“Setiap kali lawatan kerja saya ke luar negara, saya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bertemu para pelajar Malaysia.

“Selain berkongsi mengenai agenda dan pencapaian Kerajaan Perpaduan MADANI dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, saya turut berkongsi pandangan terhadap agenda TVET Negara dan usaha memperkasa industri halal negara.

“Saya berharap dan mendoakan agar para pelajar Malaysia di Negara Jepun ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang pengajian di sini dan seterusnya dapat pulang ke Malaysia dan menyumbang ke arah pembangunan serta kesesejahteraan negara juga rakyat secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Pada Sabtu media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun untuk lawatan kerja dengan beberapa fokus utama antaranya untuk memantapkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara serta mengukuhkan Malaysia sebagai hab dalam industri halal global.

Lawatan kerja tujuh hari sehingga 23 Feb ini, yang merupakan kunjungan sulung Ahmad Zahid ke Jepun sejak pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Kerajaan Madani pada Disember 2022, jelas mencerminkan keutamaan Malaysia dalam kedua-dua bidang berkenaan yang mempunyai pasaran luas di peringkat antarabangsa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.