Minggu Al-Quds: Program Solidariti Antara Usaha, Sokongan Terhadap Palestin
Melaka, 18 Feb – Penganjuran Program Solidariti Palestin sempena Minggu Al-Quds yang berlangsung di negeri ini merupakan sebahagian usaha dan tanda sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap masyarakat di negara berkenaan yang kini memperjuangkan nasib di bumi sendiri.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata dalam apa jua keadaan penderitaan yang ditanggung oleh penduduk Palestin amat perit dan seluruh rakyat sama-sama mendoakan kesejahteraan mereka.
“Syukur ke hadrat Illahi atas kelancaran penganjuran Program Solidariti Palestin sempena Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia yang berlangsung di tempat di Masjid Cina, Negeri Melaka.
“Terima kasih atas penghormatan yang diberikan bagi merasmikan program indah dan barakah sebegini. Program dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Muhammad Khairi bin Maidin, Johan Tilawah Al-Quran Negeri Melaka 2019-2020.
“Seterusnya, para tetamu dihidangkan dengan beberapa sesi ceramah bermanfaat oleh tetamu jemputan iaitu Syeikh Dr. Aahid Abu Ata, Pengerusi Kesatuan Ulama Palestine di Asia Tenggara, Datuk Ahmad Amir Ali, Pengerusi Lembaga Tower Bridge for Consultant & Training , United Kingdom.
“Tidak dilupakan ceramah bersemangat yang disampaikan oleh Ustaz Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali al-Takiri, Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri. Terima kasih juga kepada Ustaz Mohd Kamal Nazmi yang sudi hadir sebagai penterjemah,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Kata beliau lagi, hakikatnya, penganjuran majlis mulia ini bertujuan memperingati dan mendoakan saudara-saudari kita di Palestin yang sedang memperjuangkan nasib mereka di bumi Gaza.
“Sekalung penghargaan diucapkan kepada rakan strategik seperti MBMB, Masjid Cina, JAIM, MAIM, PDRM dan MCR atas kerjasama penganjuran.
“Semoga kita sentiasa bersyukur atas nikmat keamanan dan istiqamah dalam mendoakan umat Islam di Palestin. Aminn Ya Robbal Alamin,” tambahnya.- UMNO Online.