Teruskan Usaha Lahirkan Insan Berkemahiran, Berdaya Saing dan Mandiri – Raime

TENOM, 17 Feb – Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raime Unggi menegaskan bahawa usaha bagi melahirkan insan khususnya para belia dan beliawanis yang berkemahiran, berdaya saing serta mandiri sentiasa dibuat.

Katanya, ini adalah dengan mengaplikasi pelbagai cara termasuk peranan pusat GiatMARA yang diperkasakan sesuai dengan fungsi dan matlamatnya dalam kerajaan hari ini.

Kata Raime yang juga ADUN dilantik Negeri Sabah, iltizam kerajaan adalah berterusan sesuai dengan matlamat wujudnya Pusat GiatMARA sejak awal penubuhan dalam usaha membantu rakyat Bumiputera.

Dalam hal ini Raime yang telah mengadakan lawatan rasmi di Pusat GiatMARA daerah Tenom buat julung kalinya sejak dilantik sebagai Penasihat Pusat GiatMARA Tenom oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Terlebih dahulu, Raime bersama rombongan kepimpinan Bahagian UMNO Tenom telah mendapat taklimat mengenai perkembangan dan pencapaian semasa Pusat GiatMARA Tenom oleh Puan Norhazrillah Latif, Pengurus Pusat GiatMARA Tenom.

Pada masa yang sama Raime, yang merupakan mantan Ahli Parlimen sejak 2004 sehingga 2018 ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) mengimbas komitmen beliau dalam menjayakan terlaksananya pembinaan bangunan Pusat GiatMARA yang baharu ini dan memjelaskan akan fungsi dan peranan beliau selaku Penasihat di Institusi ini.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Naib Ketua Bahagian UMNO Tenom, Laisok Laikim; Ketua Pemuda UMNO, Bobby Balang; Setiausaha UMNO Bahagian Hassan, Warsidi; Bendahari UMNO Bahagian Tenom, Lufti Ahmad; Ketua Penerangan Bahagian UMNO Tenom, Rosali Andiar dan beberapa Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tenom. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.