Kerjasama Dengan Universiti, Industri Jepun Perkasa Bidang TVET Dan Pendidikan MARA – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sejurus tiba di Tokyo, Jepun pagi tadi, beliau terus mengadakan perjumpaan bersama Japan International Coorperation Industry (JICA) yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Imperial Hotel, Tokyo.

Menurut Dr Asyraf, JICA merupakan Pusat Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun yang menyelaras bantuan pembangunan rasmi bagi kerajaan Jepun, yang membantu pertumbuhan ekonomi dan sosial di negara-negara membangun termasuk Malaysia.

“JICA menggalakkan kerjasama Jepun di peringkat antarabangsa dan perjumpaan strategik ini membuka peluang kepada MARA khususnya untuk bekerjasama dalam pelbagai inisiatif kerjasama melalui pendidikan, peralihan teknologi TVET ke IPMA-IPMA MARA.

“…selain memperkukuh kerjasama dengan pemain-pemain industri di Jepun bagi memanfaatkan para pelajar dan tenaga pengajar dalam ekosistem pendidikan MARA,” katanya yang juga Setiausaha Agung UMNO dalam satu perkongsian di Facebook.

Selanjutnya Dr Asyraf juga berkata MARA akan menghantar lebih ramai pelajar-pelajar ke Jepun.

“Insya-Allah MARA melalui institusi pendidikan MARA-Japan Industrial Institute (MJII) dan UniKL akan menghantar lebih ramai pelajar ke Jepun selain meningkatkan peluang-peluang latihan industri dalam bidang-bidang strategik dengan pemain-pemain industri Jepun,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.