UMNO Terus Berpegang Kepada Prinsip Biarpun Bersama PH Di Dalam Kerajaan – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 16 Feb – UMNO hari ini dilihat terus berpegang kepada prinsipnya yang tersendiri dalam memacu kerajaan bersama rakan-rakan parti yang lain menerusi Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan.

Isu-isu yang timbul dilihat bukan sahaja berjaya diredakan sebaiknya, malah jika menyentuh soal Melayu dan Islam pimpinan parti tegas mempertahankannya termasuklah agenda lain yang melibatkan soal kepentingan rakyat.

Bagi Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim itulah yang membezakan antara UMNO dan parti Melayu lain seperti Bersatu yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau jika diamati kedua-dua parti Melayu ini masing-masing pernah dan sedang berada di dalam kerajaan di bawah gabungan PH yang mana Bersatu menerusi  PH1.0 dengan diterajui Perdana Menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala UMNO pula dengan PH2.0 yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hari ini.

“Ketika PH1.0 memerintah selama 22 bulan, banyak kerosakan dilakukan terutamanya melibatkan kepentingan Melayu dan Islam. Kemuncaknya apabila ratifikasi ICERD atau Statut Rom yang terang-terangan melanggar Perlembagaan dengan menyentuh kuasa Raja-Raja, keistimewaan Melayu dan kesucian agama Islam.

“Mana suara-suara pemimpin Bersatu pada waktu itu walhal Perdana Menteri sendiri dari Parti Bersatu. Nasib ada Himpunan Ummah yang dihimpunkan di Dataran Merdeka serta pelbagai faktor lain yang mengagalkan hasrat mereka. Kini mereka kononnya ibarat suci serta mengangkat diri sendiri sebagai pejuang agama Islam dan bangsa Melayu,” katanya.

Kata beliau lagi, takdir Allah SWT untuk rakyat menilai, kini giliran UMNO pula berada di dalam gabungan PH2.0 tetapi bezanya antara UMNO dan Bersatu, UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih tegas, garang serta konsisten dalam mempertahankan apa juga kepentingan Melayu dan Islam walaupun terpaksa ‘draw the sword’ dengan menteri/Ahli Parlimen dari Dap atau PKR.

“Beberapa isu seperti pemilihan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) oleh YB Tan Kok Wai, lantik pakar bukan Islam dalam urusan undang-undang Islam oleh YB Ngeh Koo Ham dan terkini isu cadangan Kampung Baru Cina yang ingin dijadikan tapak warisan UNESCO oleh YB Nga Kor Meng semuanya disanggah tegas oleh UMNO walaupun berada dalam kerajaan.

“Terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti di semua peringkat yang memainkan peranan masing-masing. Paling penting UMNO berdiri di atas paksinya sendiri meskipun berada di dalam kerajaan hari ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.