SUA Ke UMNO Bahagian Gopeng, Teruskan Diskusi Kukuhkan Agenda Pemerkasaan Parti

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meneruskan Siri Jelajah Pencerahan Isu-Isu Semasa bersama ahli-ahli UMNO bagi menemui kepimpinan bahagian untuk mengukuhkan lagi parti keramat ini.

Kali ini siri jelajah ini ke UMNO Bahagian Gopeng bagi diskusi membabitkan hala tuju parti dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Asyraf dalam pertemuan itu berharap agar pemerkasaan parti dilaksanakan berterusan demi agenda agama, bangsa dan tanah air.

“Alhamdulillah, dapat berinteraksi secara terus dengan ahli-ahli akar umbi mengenai isu-isu terkini politik semasa dan sesi soal jawab yang interaktif bagi merungkai segala persoalan yang timbul di peringkat akar umbi.

“Terima kasih buat semua yang hadir. Insya-Allah kita akan terus istiqamah dalam wadah perjuangan parti keramat UMNO ini demi membela agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu turut sama meluahkan penghargaan dengan komitmen diberikan peserta yang melaksanakan gerak kerja terbaik kepada parti keramat ini termasuk dalam meneruskan khidmat bakti kepada rakyat.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din serta barisan kepimpinan bahagian.

Untuk rekod Asyraf sebelum ini juga telah mengunjungi UMNO Bahagian Tanjung Malim, Lumut, Padang Rengas, Gerik, Larut dalam melaksanakan siri jelajah yang sama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.