Noraini Santuni Enam Beradik Nyaris Maut Rumah Terbakar, Sampaikan Bantuan

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkesempatan menyantuni enam beradik yang nyaris maut akibat terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia, pada ziarah tersebut meluahkan simpati beliau dengan menyampaikan usaha dan bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga.

“Hari ini, saya berkesempatan menyantuni enam orang kanak-kanak yang terlibat dalam bencana kebakaran di kediaman mereka tempoh hari. Kesemua mangsa berumur dalam lingkungan dua hingga 11 tahun.

“Keenam-enam mangsa telah diselamatkan oleh pasukan bomba yang bertindak pantas atas panggilan kecemasan yang diterima. Kejadian berlaku semasa ibu kanak-kanak ini menghantar suaminya ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat penyakit jantung,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Turut hadir pada kunjungan tersebut ialah Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Azmir Kassim dan Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor, Datuk Halimaton Saadiah Bohan.

Terdahulu pada Isnin, enam beradik tersebut nyaris maut akibat terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Apartmen Idaman, Damansara Damai sebelum diselamatkan pasukan bomba. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.