UMNO Mesti Kuasai Media Sosial Untuk Fakta Yang Betul, Berani Salurkan Suara Rakyat – Jeffery Noor
KOTA KINABALU, 15 Feb – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah, Jeffrey Nor Mohamed menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO mesti berani bagi menjadi saluran kepada suara rakyat dengan mendapatkan fakta dan data yang betul.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menekankan bahawa dalam hal ini generasi muda khususnya Pemuda dan Puteri UMNO adalah golongan penting bagi memenuhi kehendak rakyat.
“Pemuda dan Puteri UMNO mesti memenuhi kehendak rakyat Sabah dan yang paling penting mesti di depan dalam menguasai arus media sosial yang hari ini menjadi media baharu sangat berpengaruh,” katanya kepada UMNO Online.
Baru-baru ini beliau telah menyampaikan pesanan kepada golongan kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO yang diaplikasi menerusi ucapan penutup Program Tik Tok dan Media Sosial yang dilaksanakan dalam siri jelajah pergerakan terbabit bagi Negeri Sabah.
Dalam hal ini, Jeffrey Nor, amat menghargai dan menyambut baik penglibatan pelbagai pihak khususnya golongan pemimpin muda UMNO yang menjalankan pelbagai aktiviti untuk mengaplikasi kepakaran bagi menyantuni rakyat.
“Hasil usaha dan kesungguhan dari semua pihak khususnya kepimpinan muda dalam UMNO maka kita akan dapat meneruskan perjuangan parti dengan melaksanakan pelbagai khidmat serta menjadi saluran terbaik dalam agihan maklumat.
“Kita mahukan semua pihak mendapat pembelaan kerana UMNO sentiasa bersama-sama bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang sejahtera serta tidak dimanipulasi oleh info atau maklumat yang tidak benar.”
Selaku pemimpin, beliau menyatakan sokongan kepada penglibatan anak-anak muda yang mengaplikasi pelbagai ruang dan peluang bagi memastikan UMNO sentiasa bersama rakyat.
Terdahulu beliau telah memenuhi permintaan para belia dan beliawanis di Kampung Meruntum, Putatan dengan merealitikan pertandingan bola tampar tertutup selain pelaksanaan pertandingan dart di Petagas dan lain-lain aktiviti.
“Fokus kumpulan kita bukan hanya kepada ahli-ahli UMNO sahaja kerana kita sebagai pemimpin perlu menyantuni keseluruhan rakyat yang bukan hanya memerlukan info, data dan maklumat yang tepat tetapi juga menagih khidmat bakti yang sememangnya amat sinonim dengan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online