SUA Harap Jawatankuasa Khas Undang-Undang Islam Syor Naik Taraf Akta 355

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi mengharapkan agar Jawatankuasa Khas Undang-Undang Islam yang telah ditubuhkan akan dapat mengesyorkan Majlis Raja-Raja agar menaik taraf Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) ataupun Akta 355.

Menurutnya, antara cadangan penting adalah untuk menaikkan had hukuman denda maksimum yang kali terakhir dipinda pada tahun 1984.

“Moga-moga Jawatankuasa Khas Undang-Undang Islam ini dapat mengesyorkan juga kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan agar menaik taraf Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tertangguh lama.

“Antara cadangan penting ialah untuk menaikkan had hukuman denda maksimum daripada RM5,000 kepada RM100,000. Kali terakhir dipinda Akta 355 ini ialah 1984 iaitu antara lainnya menaikkan hukuman daripada had denda maksimum RM1,000 kepada RM5,000.

“Setelah 40 tahun adalah tidak munasabah had denda masih kekal pada RM5,000 memandangkan status ekonomi dan pendapatan rakyat sudah jauh berubah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kekangan perundangan seperti had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah turut mengakibatkan ketidakadilan kepada kaum wanita.

“Contohnya kes-kes yang melibatkan penafian hak ke atas wanita atau isteri yang menuntut nafkah atau harta sepencarian apabila ditinggalkan suami kerana kahwin lain dan sebagainya.

“Banyak kes suami lebih rela bayar denda RM5,000 daripada kena bayar nafkah atau tuntutan harta sepencarian yang berjumlah puluhan atau ratusan ribu kepada isteri. Ini contoh ketidak-adilan kepada wanita lantaran kekangan perundangan seperti had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah,” katanya lagi.

Pada Disember lalu media melaporkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) yang turut dianggotai 10 individu lain.

Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.