Pelantikan Exco: Ia Satu Amanah Dan Tanggungjawab Untuk Manfaat Rakyat, Negeri Pahang – Amizar

KUANTAN, 15 Feb – Exco Kerajaan Negeri Pahang yang baharu dilantik Datuk Amizar Abu Adam berkata portfolio yang diberikan kepadanya bukan sesuatu perkara yang baharu buat beliau.

Namun katanya, ia adalah amanah dan tanggungjawab baharu yang akan dipikul olehnya dalam memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang lebih stabil dan dapat membawa seberapa banyak manfaat tentunya kepada rakyat Negeri Pahang Darul Makmur.

“Setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang di atas kepercayaan kepada saya untuk menggalas perjawatan ini dan menerima saya sebagai salah seorang ahli keluarga di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang.

“Ianya bukan perkara yang perlu sentiasa dibanggakan namun, saya bersyukur kepada Allah SWT di atas ketentuan dan kebaikan ini kepada saya, dan saya membawa nama dan semangat sebagai Anak Pelangai Kita yang diterima sebagai barisan pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya di sini hari ini.

Ulasnya juga, setelah selesai pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang memegang portfolio FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, beliau memasuki pejabat buat pertama kalinya di Wisma Sri Pahang, di sini untuk menemui pegawai-pegawai dan menghadiri sesi taklimat serah tugas.

“Sudah tentu, saya akan cuba sedaya upaya untuk melonjak nama Negeri Pahang Darul Makmur di persada yang lebih tinggi. Saya berasal dari Pelangai, Pelangai sentiasa di hati saya, Pelangai Kita,” kata Amizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.