Media Sosial Berperanan Bantu Sebar Luaskan Pengaruh UMNO – Maizatul Akmam

LAHAD DATU, 15 Feb – Peranan media sosial terbukti berkesan jika digunakan dengan teratur dan berstrategi untuk menyampaikan hala tuju dan program UMNO di samping dapat menyebarluaskan pengaruhnya kepada masyarakat.

Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datin Maizatul Akmam Alawi berkata, pendekatan ini telah digunakan pakai oleh Barisan Nasional (BN) dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini termasuk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor apabila media sosial digunakan sebaiknya dengan pendekatan yang sistematik dan konsisten bagi meraih kemenangan bermakna buat BN.

Sehubungan itu katanya kesungguhan Pergerakan Puteri UMNO Sabah menganjurkan kursus media sosial dan Tik Tok wajar diberikan pujian untuk mengerakkan ahli dan jentera parti memanfaatkan media baharu sebagai platfrom untuk berkempen menjelang PRN Sabah akan datang.

Menurut Maizatul Akmam yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Lahad Datu pelaksanaan kursus ini di seluruh Zon UMNO di Sabah selaras dengan saranan Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan penggunaan media sosial dioptimumkan sepenuhnya oleh ahli UMNO dalam usaha menyebarluaskan pengaruh parti secara lebih positif kepada rakyat.

“Kita melihat komitmen Pergerakan Puteri UMNO Sabah ini sebagai satu usaha yang positif bagi melengkapkan ilmu pengetahuan serta jentera parti dapat memanfaatkan media sosial sebagai medium menyebarluaskan maklumat program dan dasar parti selain menyalurkan isu isu yang rakyat di peringkat akar umbi untuk makluman pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian kursus Media Sosial dan Tik Tok Zon 6 Lahad Datu,Tawau, Semporna dan Kalabakan di sini baru-baru ini.

Kursus tersebut dirasmikan oleh Ketua Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Fauzi dan turut dihadiri oleh Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal yang diadakan disemua bahagian mengikut zon masing-masing.

Maizatul Akmam menambah pada era digital ini, semua orang mempunyai akses dan boleh membuat akaun media sosial, tik tok dan sebagainya ,namun bagaimana ianya dimuat naik dan dapat menarik perhatian orang ramai yang membaca dan menontonnya sudah tentu memerlukan kreativiti yang boleh di pelajari dari mereka yang pakar dalam bidang ini.

“Sudah tentu melalui kursus ini peserta akan dapat berkongsi pengalaman mempelajari ilmu dari mereka yang pakar dalam bidang ini dan apa yang kita harapkan ilmu tersebut akan dapat dikongsi dan disebarluaskan kepada pemimpin dan ahli di peringkat bahagian dan cawangan,” katanya.

Dalam pada itu Maizatul Akmam juga meminta ahli UMNO agar menjadikan media sosial termasuk tik tok untuk mempertahankan parti dan pemimpin yang menjadi keceman, termasuk provokasi dan fitnah yang melampau oleh pihak lawan.

“Pihak lawan telah menjadikan media sosial, tik tok dan sebagainya menyerang pemimpin dan UMNO, maka kita jadikanlah ruang dan peluang yang ada ini untuk membetulkan kembali keadaan,” katanya.

Sehubungan itu Maizatul Akmam mengajak ahli UMNO agar membentuk satu pasukan tentera siber di semua bahagian dan cawangan dengan menjadikan media sosial untuk membalas segala kecemanan, fitnah dan provokasi yang melampau dari pihak lawan.

“Kita tidak boleh berdiam diri seperti mengiyakan apa yang mereka viralkan, kita perlu bangkit membalas segala tomahan dan fitnah yang disebarkan,berdasarkan fakta yang ada,” jelas beliau lagi.
Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.