Kongres Ekonomi Bumiputera Selari Hasrat Kerajaan Perpaduan Perkasakan Ekonomi – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ahli Jawatankuasa Kongres Ekonomi Bumiputera Peringkat Kebangsaan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac ini adalah selari dengan hasrat kerajaan iaitu pemerkasaan agenda ekonomi Bumiputera.

Ini kerana katanya, Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama dapat melahirkan pembentukan agensi-agensi kerajaan serta berjaya menaikkan taraf ekonomi rakyat.

“Saya nak kongres ini dibuat seperti kongres yang pertama diadakan dahulu seperti mewujudkan MARA, Felda, UDA, Tabung Haji dan sebagainya. Maka agensi-agensi tersebut sampai sekarang masih ada. Itu di antara keputusan kongres-kongres yang besar sebelum ini.

“Kongres Ekonomi Bumiputera ini boleh mewujudkan satu resolusi iaitu Bumiputera mesti menjadi bangsa usahawan dan segala urusannya diikuti termasuk memberi mata pelajaran di sekolah-sekolah menengah serta ditambahkan lagi ‘kredit’ pelajaran di universiti.

“Ilmu perniagaan adalah penting untuk jadi usahawan dan sekiranya mahu menjadi bangsa usahawan maka TVET adalah pilihan utama,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menasihati para usahawan agar terus bermotivasi dan mempunyai ilmu yang cukup kerana ia akan dapat meningkatkan serta memperkasakan lagi bidang ini.

“Lagi ramai usahawan ada di sebuah negara itu maka lagi cepat negara itu maju. Kita masih belum mencapai negara maju dan sekiranya banyak usahawan, jadi cepatlah dapat capai hasrat kita. Kalau kita mempunyai produk yang cukup baik maka ia bukan hanya boleh jual di dalam negara tapi boleh dieksport ke negara lain.

“Kalau kita memilih kemahiran yang tepat maka boleh dapat gaji yang tinggi. Walaupun ada gaji yang tinggi kita juga mesti jadi usahawan sendiri dan menggaji orang. Jangan selamanya makan gaji tapi hendaklah menggaji orang,” katanya.

Pada masa yang sama Timbalan Menteri Kerja Raya itu juga mengharapkan pelajar-pelajar yang sudah tamat belajar dan ingin menceburi bidang keusahawan dapat mengaplikasi kemudahan yang kerajaan telah sediakan.

“Kita ada Institut Keusahawan Negara (INSKEN) di bawah Kementerian Keusahawanan Negara. INSKEN ini ada kursus yang diadakan setiap minggu dengan pelbagai jenis.

“Lebih 100 buah kolej Komuniti yang terdapat dalam negara ini dan bermacam-macam kursus bagi mendapatkan ilmu keusahawan serta bayarannya amat murah,” jelasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.