Aznan Dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dan Penerangan Johor, Tekad Pikul Tanggungjawab Sebaiknya

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di atas pelantikan beliau dalam jawatan tersebut.

“Syukur Alhamdulillah atas ruang dan peluang yang diberikan kepada saya untuk menggalas jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi atas peluang dan kepercayaan yang diberikan ini.

“Patik menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor atas perkenan berangkat ke Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang telah berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, pada 13 Februari lalu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, jawatan tersebut merupakan satu tanggungjawab yang besar dan akan berusaha melaksanakan amanah ini.

“Amanah ini merupakan satu tanggungjawab yang besar di bahu saya khususnya portfolio pendidikan yang merupakan teras utama dan hasrat Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor. Pemerkasaan pendidikan merupakan misi utama baginda untuk Bangsa Johor.

“Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin demi Bangsa Johor dan mencapai agenda Maju Johor terutamanya dalam memperkasa aspek pendidikan di negeri ini,” katanya lagi.

Pada masa yang sama juga beliau mengucapkan terima kasih kepada bekas Pengerusi Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi, Norlizah Noh di atas khidmat bakti yang dicurahkan selama ini.

“Saya juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada mantan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi sebelum ini iaitu Yang Berhormat Norlizah Noh atas khidmat dan bakti yang dicurahkan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.