Perkukuh Kerajaan Perpaduan… Perlu Komitmen Semua Rakan Parti Komponen – Nazrin Faiz

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Komitmen semua rakan parti komponen amat diperlukan untuk terus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, kata Setiausaha Biro Perkaderan dan Latihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM), Mohamad Nazrin Faiz Che Abdul Aziz.

Jelasnya, sebarang isu yang timbul antara rakan parti komponen mestilah disuarakan menggunakan medium yang betul seperti perbincangan dan bukannya melalui konfrontasi.

“Kalau bercakap dari perspektif UMNO, kita sudah tahu bahawasanya kita telah ditolak rakyat. Tetapi atas cadangan Yang di-Pertuan Agong tempoh hari, kita bersama dengan kerajaan hari ini sehingga tertubuhlah Kerajaan Perpaduan.

“Apabila terjadi sesuatu isu kita kena tahu siapa yang bercakap. Adakah ianya jalur rasmi ataupun individu. Jadi, untuk menjaga keharmonian parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan pertamanya, rakan-rakan komponen perlu memainkan peranan.

“Keduanya, kita sebagai parti sahabat juga perlu mengutarakan apa-apa isu mengganggu dalam ruang lingkup perbincangan yang selalu kita amalkan dalam UMNO/Barisan Nasional (BN) dan bukannya konfrontasi,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut menyuarakan dengan lantang agar isu-isu hak istimewa Melayu-Bumiputera terutamanya melibatkan Yang di-Pertuan Agong dalam kes Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Tetapi saya melihat juga kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO turut memberikan suara yang lantang untuk menunjukkan bahawa jangan memainkan pregoratif kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita menyambut dengan hati yang terbuka tentang keputusan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Namun, kita mengharapkan Yang di-Pertuan Agong baharu boleh menjemput Presiden UMNO untuk mungkin kita boleh memberikan justifikasi bagi kenapa kita mahu Datuk Seri Najib dikeluarkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa dengan adanya Datuk Seri Najib mungkin ia bakal memberikan satu nilai tambah yang baik kepada UMNO/BN dan juga negara.

“Ini kerana sedar atau tidak, banyak yang kita perlu ‘catch-up’. Jadi, bagi saya kebijaksanaan dan pengalaman beliau serta hubungan yang sangat erat dengan pelbagai negara itu kita perlu ambil sebagai satu peluru untuk kita pastikan negara kita ‘bounce better’.

“Ya, kerajaan berada dalam landasan yang baik tetapi saya yakin dengan adanya ‘bosku’ yang kita tahu dengan pengalamannya mengurus tadbir negara sehingga kita ada prestasi ekonomi sangat baik, ia akan menjadi satu nilai tambah bukan sahaja kepada parti bahkan kepada negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.