Mengenang PM Kedua, Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan Negara Malaysia

AHAD, 14 Januari 2024, sebulan yang lepas genapnya Ulang Tahun Ke-48 berpulangnya ke Rahmatullah Ta’ala Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Timbalan Perdana Menteri Kedua (1970 – Januari 1976) Bapa Pembangunan Negara Malaysia di London dan telah dikebumikan di makam Pahlawan Masjid Negara Kuala Lumpur.

Bagi mengenangkan jasa-jasa Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein, bersama-sama ini saya nukilkan sebuah puisi sebagai menghargai pengorbanan Allahyarham kepada Negara, Bangsa dan Agama.

TUN ABDUL RAZAK BIN DATO’ HUSSEIN BAPA PEMBANGUNAN DAN BAPA PERPADUAN HARI INI, SEMALAM DAN ESOK

Anak Jati Pulau Keladi Pekan Pahang
membawa berkat
Buku Merah dasar pembangunan
Malaysia diperkenal dan diangkat
Malaysia mula mengorak pencak
Sosial ekonomi politik bersilang padat
Cermin bercerita masa depan negara yang cukup erat.

Leukemia meragut nyawamu yang singkat
Pergimu diratapi rakyat
Hilangmu dicari umat
Namamu diabadi di cakerawala keramat.

Bagai ribut membawa barakah
Merimbun sawit dan getah
Menghijau ladang terbesar di dunia
FELDA ilham dan jasamu untuk mereka tak bertanah.

Dasar ekonomi baru perisai kemiskinan
Neraca keseimbangan yang susah dibantu
Dan yang kaya pula membantu
Kek ekonomi nikmat bersama
Mereda antagonisme perkauman.

Politik sempit terpalit pahit terungkai darah perpaduan
13 Mei 1969 membawa petaka yang kapal layar terbelah
Bertaut pelangi biru Barisan Nasional pengimbang
memupuk kestabilan politik
Malaysia memacu semula arus perdana
di peta antarabangsa.

Allah lebih menyayangimu pelita hati
membawa perginya dengan sedih tongkat sakti
Petunjuk Bangsa dan Negara yang
belum lagi masa untuk menuai budi
Allah redha kau pergi kerana ada pengganti
Namun tak sama seperti yang kau pergi
Jasamu tetap dikenang, namamu sentiasa diabadi. – UMNO ONLINE

Puisi Nukilan:-
Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Mohd Yussof Latiff
Presiden,
Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)
Veteran UMNO
14 Februari 2024 / 04 Syabaan 1445h

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.