Malang Tidak Berbau… Noraini Santuni Mangsa Kebakaran Flat Sri Sabah

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad menyantuni mangsa-mangsa kebakaran yang melibatkan enam buah rumah di Blok 70, Flat Sri Sabah di samping menyampaikan barangan bantuan asas pada pagi Selasa.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia memaklumkan bahawa mangsa-mangsa tersebut telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheras.

“Malang tidak berbau. Sambutan Tahun Baru Cina yang sepatutnya disambut meriah seisi keluarga bertukar menjadi duka apabila kebakaran berlaku pada malam hari Ahad lalu yang melibatkan enam buah rumah di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras.

“Pagi ini saya telah turun ke PPS SK Sri Cheras yang menempatkan mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana kebakaran tersebut.

“Lawatan saya turut diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), Rosmawati Ishak, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Zauyah Zainudin,” katanya.

Menurutnya, beliau turut berkesempatan bersama-sama melakukan aktiviti yang dilaksanakan oleh Pegawai Kaunseling JKM dan menyampaikan barangan bantuan asas kepada mangsa-mangsa terlibat.

“PPS SK Sri Cheras yang dibuka pada hari Ahad, jam 11.30 malam menempatkan 13 orang mangsa yang terdiri daripada 3 buah keluarga. Kesemua mangsa merupakan penghuni di tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah.

“Saya juga berkesempatan menyantuni mangsa dan bersama-sama melakukan aktiviti yang dilaksanakan oleh pegawai kaunseling JKM disamping menyampaikan bantuan asas seperti toto, tuala, selimut, refreshment kit, hygene kit dan makanan retort,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung ataupun tidak.

“Pada masa yang sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail juga turut membuat lawatan ke PPS ini.

“Terima kasih diucapkan kepada JKM dan agensi-agensi kerajaan yang membantu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya lagi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan kebakaran yang berlaku di Flat Sri Sabah, pada hujung minggu lalu berpunca daripada masalah pendawaian elektrik yang berlaku di unit tiga di tingkat 17.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul berkata, punca kebakaran itu dikenal pasti hasil siasatan oleh bahagian forensik JBPM Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Muhammad Salleh menafikan dakwaan yang dilaporkan kebakaran flat tersebut berpunca daripada bunga api. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.