Majlis Apresiasi Satu Inisiatif Penghargaan Kepada MPKK Selangor – Rizam

SABAK BERNAM, 14 Feb – Majlis Apresiasi untuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor 2023 merupakan satu inisiatif Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna bagi penghargaan kepada ahli majlis yang telah menjalankan tugas sebaiknya.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata, majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Selasa.

“Pada 13 Februari 2024, Menteri Besar Selangor telah merasmikan Majlis Apresiasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor 2023 yang berlangsung dengan sangat meriah.

“Ini merupakan salah satu inisiatif Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna bagi memberi penghargaan kepada semua MPKK yang telah menjalankan tugas dengan baik di kampung masing-masing,” kata Rizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, beliau percaya bahawa Pengerusi-Pengerusi MPKK tersebut telah menjalankan tugas dengan sebaiknya pada tahun 2023 dan mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah.

“Menjadi seorang pemimpin di kampung bukannya mudah dengan kepadatan penduduk yang mungkin sukar untuk memuaskan hati semua orang. Namun saya percaya Pengerusi-Pengerusi MPKK ini telah menjalankan tugas mereka dengan baik sepanjang mereka berkhidmat pada tahun 2023.

“Tahniah saya ucapkan kepada penerima anugerah, semoga perkara ini dapat memberi semangat kepada MPKK untuk terus berkhidmat dan bersaing secara sihat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu.

Untuk rekod, seramai 29 penghulu dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menerima Anugerah Kampung Tradisi termasuk dua Anugerah Khas.

27 orang ketua kampung pula memenangi Anugerah Kampung Tradisi setiap daerah yang membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil serta plak.

Penerima Anugerah Khas MPKK Terbaik Kampung Tradisi pula menerima RM1,500 manakala pemenang Anugerah Khas Ikon Ketua Kampung menerima RM300 termasuk sijil dan plak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.