Jaga Hubungan Baik Antara Masyarakat Berbilang Kaum – Siti Aminah

BEAUFORT, 14 Feb – Rakyat diingatkan agar tidak memandang ringan soal menjaga hubungan antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikekalkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Hajah Siti Aminah Aching berkata, walaupun kini rakyat Malaysia bertuah kerana masih dapat meraikan pelbagai perayaan Hari Raya Aidil Fitri, Krismas termasuk Tahun Baru Cina dengan penuh harmoni dan aman, namun keadaan mungkin tidak sentiasa begitu.

Ini kerana, katanya, ada pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian yang sedia ada untuk tujuan tertentu dan sehubungan itu semua pihak diharap tidak membiarkan diri mereka terhasut dengan perkara sebegitu.

“Di dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama, kita dapat meraikan kepelbagaian ini dengan penuh keharmonian dan keamanan.

“Bagaimanapun mutakhir ini ada pihak yang cuba mengeruhkan keadaan ini dengan pelbagai kenyataan yang mampu mengugat keharmonian dan keamanan antaranya yang menyentuh isu 3R iaitu bangsa (race), agama (religion) dan Raja-raja (royalty) yang seharusnya tidak diperdebatkan jika pihak berkenaan menghormati rukun negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengagihkan limau mandarin dan kad ucapan Tahun Baru Cina kepada golongan peniaga Tiong Hwa di pekan Beaufort, Kuala Penyu dan Menumbok baru-baru ini.

Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Setiausaha Publisiti Dap, Tony Pua baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Siti Aminah, kenyataan seperti ini disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab yang boleh mencetuskan kerosakan perpaduan serta keharmonian negara.

“Isu 3R berisiko menyebabkan berlakunya jurang lebih besar antara kaum selain boleh melahirkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama.

“Justeru rakyat perlu mengelak dan tidak terpengaruh dengan kenyataan yang berbaur hasutan ini,” katanya lagi.

Dalam hubungan ini Siti Aminah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd mengajak rakyat untuk sama-sama berikrar saling menjaga keharmonian, kestabilan dan keamanan di negara ini.

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Awang Asli ketika ditemui berkata Wanita bersama Pemuda UMNO bahagian telah pun membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan dan meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, tindakan serta-merta harus diambil terhadap mana-mana pihak atau pemimpin yang cuba memanipulasi isu 3R kerana kesan terhadap manipulasi isu ini sangat besar hingga boleh mencetuskan keretakan dalam masyarakat.

“Sudah sampai masa sama ada individu atau ahli politik serta penggeraknya didisiplinkan untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan serta keharmonian negara,“ tegas beliau.

Selain Awang Asli, turut serta dalam program tersebut Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu Joumat Haji Bisnin, Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort Juriffah Safflie, Ketua Pergerakan Pemuda Ak Mohd Yazri Yahya dan Ketua Puteri UMNO Munira Sarrie. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.