‘Peka Bukan Pekak’… Dalam Berkawan, Hal Yang Salah Jangan Dibiarkan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beliau akan terus ‘peka dan bukan pekak’ kerana baginya dalam berkawan, hal yang salah jangan dibiarkan.

Ini kerana katanya rentetan daripada isu kenyataan seorang menteri kabinet dari Dap iaitu Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mahu menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Bila ada kenyataan pimpinan Dap yang jadi isu dan ramai berpendapat mereka itu tidak betul, saya perlu tegur.

“Itu maknanya saya terus ‘peka bukan pekak’. Jangan kerana berkawan, maka hal yang salah pun dibiarkan. Idealisme tidak digadai hanya kerana berada dalam Kerajaan Madani yang sama,” kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya dalam akaun X.

Dalam platform media sosialnya yang sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu turut melaporkan mesyuarat UMNO negeri yang bersidang pada Isnin juga bersetuju dengan kenyataan UMNO pusat menolak cadangan Kor Ming tersebut.

Terdahulu, Jumaat lalu, UMNO melalui kenyataan Setiausaha Agungnya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan kenyataan menolak sekeras-kerasnya cadangan Kor Ming itu.

Cadangan Kor Ming itu juga mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata UMNO kekal dengan pendirian menolak cadangan Kor Ming.

Seterusnya, selain itu Kampung Baru Cina, jelas Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, UMNO negeri juga akan mengadakan konvensyen Melayu, bersetuju dengan agenda memperkasakan mahkamah syariah dan keputusan MKT tentang usaha rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak atas sebab ketidakadilan dalam proses perbicaraan.

Katanya lagi, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri memaklumkan ada ada rombakan kecil melibatkan Exco Kerajaan Negeri. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.