Onn Hafiz Yakin Penstrukturan Semula Exco Kerajaan Negeri Mampu Pacu Johor Ke Arah Lebih Baik

JOHOR BAHRU, 13 Feb – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mampu memacu negeri ke arah yang lebih baik.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata semua yang dilantik berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.

“Saya sedar dan insaf, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan.

“Insya-Allah, saya bersama barisan Exco ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Ulasnya juga, beliau merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan lbrahim, atas perkenan pelantikan dan penstrukturan semula portfolio Exco Kerajaan Johor bagi tahun 2024-2027.

“Patik juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota lsmail, Pemangku Sultan Johor atas perkenan pelantikan dan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor serta berangkat ke lstiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baru,” katanya.

Seterusnya, Onn Hafiz mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat Aznan Tamin yang telah mengangkat sumpah memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di hadapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini.

“Semoga apa yang dititahkan kepada Yang Berhormat Tuan Aznan Bin Tamin dapat dilaksana dan digalas dengan baik,” ujar ADUN Machap itu lagi.

Begitu juga Onn Hafiz mengucapkan jutaan terima kasih kepada mantan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor Norliza Noh atas segala khidmat dan bakti yang telah dicurahkan kepada negeri dan Bangsa Johor.

“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah, kekuatan dan pedoman dalam menempuhi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya. – UMNO ONLINE

Berikut merupakan portfolio barisan Exco Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2024-2027:

1. Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi & Pelancongan Negeri Johor
YAB Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi (Menteri Besar / ADUN Machap)

2. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor
YB Dato’ Zahari Bin Sarip (ADUN Buloh Kasap)

3. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan& Kerajaan Tempatan Negeri Johor
YB Dato’ Haji Mohd. Jafni Bin Md Shukor (ADUN Bukit Permai)

4. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan 8 Budaya Negeri Johor
YB Tuan Raven Kumar A/L Krishnasamy (ADUN Tenggaroh)

5. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Negeri Johor
YB Puan Hajah Khairin Nisa Binti Ismail @ Md On (ADUN Serom)

6. Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan & Koperasi Negeri Johor
YB Tuan Mohd Hairi Bin Mad Shah (ADUN Larkin)

7. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor
YB Tuan Haji Mohd Fared Bin Mohd Khalid (ADUN Semerah)

8. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan & Alam Sekitar Negeri Johor
YB Tuan Ling Tian Soon (ADUN Yong Peng)

9. Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna & Sumber Manusia Negeri Johor
YB Tuan Lee Ting Han (ADUN Paloh)

10. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur & Komunikasi Negeri Johor
YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Bin Mohamad Salleh (ADUN Bukit Pasir)

11. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan & Penerangan Negeri Johor
YB Tuan Aznan Bin Tamin (ADUN Tanjung Surat)

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.